Diplomasi dunia memasuki fasa baharu

Iklan
Pengiktirafan rasmi Palestin oleh beberapa kuasa Barat minggu ini dilihat sebagai titik perubahan penting dalam landskap diplomasi antarabangsa.

PENGIKTIRAFAN rasmi Palestin oleh beberapa kuasa Barat minggu ini dilihat sebagai titik perubahan penting dalam landskap diplomasi antarabangsa.

Langkah itu memberi isyarat jelas bahawa dunia semakin hilang sabar terhadap konflik berpanjangan di Gaza dan mendesak penyelesaian dua-negara dilaksanakan segera.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, tindakan mengiktiraf Palestin bertujuan menghidupkan semula peluang keamanan.

“Kami bertindak bagi memastikan penyelesaian dua-negara terus hidup. Rakyat biasa, sama ada Israel atau Palestin, berhak hidup aman dan membina semula kehidupan tanpa keganasan serta penderitaan,” katanya dalam kenyataan rasmi di London.

Iklan

Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah Wartawan Nasional Sinar Harian

Kanada turut sehaluan apabila Perdana Menteri, Mark Carney menegaskan pendirian tegas menolak usaha mengubah demografi dan sempadan Palestin yang diduduki.

Iklan

Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula berkata, peperangan di Gaza tidak lagi mempunyai justifikasi moral.

“Tiada apa yang boleh membenarkan perang ini berterusan. Kita perlukan gencatan senjata segera,” katanya dalam ucapannya yang disiarkan media Perancis.

Australia mengambil langkah sama apabila Perdana Menteri, Anthony Albanese mengumumkan pengiktirafan negara Palestin dengan nada keras terhadap Israel.

“Kami amat bimbang dengan krisis kemanusiaan yang berlaku dan memegang kerajaan Israel sebahagiannya bertanggungjawab atas apa yang berlaku di Gaza,” ujarnya di Canberra.

Langkah diplomatik ini menandakan perubahan ketara dalam pendirian negara Barat yang selama ini lebih berhati-hati dalam isu Palestin-Israel.

Tekanan baharu ini dijangka meningkatkan desakan antarabangsa agar Israel menghentikan serangan ketenteraan ke atas Gaza.

Profesor Madya Dr Khoo Ying Hooi dari Universiti Malaya berkata, gelombang pengiktirafan ini memberi mesej bahawa komuniti antarabangsa bersedia bertindak lebih tegas.

“Ini bukan sekadar pengiktirafan simbolik. Ia isyarat bahawa Barat bersedia menekan Israel melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Malaysia yang sekian lama lantang menyokong Palestin turut menyambut baik perkembangan tersebut. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas terhadap Israel.

“Tindakan hukuman mesti dikuatkuasakan. Hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel perlu dihentikan. Pengeboman tanpa henti ini adalah tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan,” tegas beliau pada satu persidangan antarabangsa di Doha.

Pemerhati diplomasi percaya Malaysia berpeluang menjadi suara utama ASEAN dalam isu ini. Kuala Lumpur boleh memanfaatkan reputasinya sebagai penyokong kuat Palestin untuk memimpin rundingan atau sidang solidariti serantau.

Walaupun pengiktirafan negara Barat membawa harapan baharu, risiko tindak balas Israel tidak boleh diketepikan. Ada kemungkinan Tel Aviv meningkatkan operasi ketenteraan atau mempercepatkan rancangan penggabungan wilayah sebagai tindak balas politik.

Namun begitu, pakar berpendapat tekanan diplomatik kolektif boleh mengehadkan ruang tindakan unilateral Israel, termasuk kemungkinan sekatan perdagangan dan tindakan undang-undang antarabangsa terhadap pelanggaran hak asasi.

Kesan daripada gelombang pengiktirafan ini dijangka memberi semangat baharu kepada rakyat Palestin. Bagi mereka, ia bukan sahaja kemenangan moral tetapi juga isyarat bahawa dunia mula berdiri bersama mereka selepas berdekad-dekad berjuang.

Akhirnya, pemerhati politik menegaskan konflik Gaza kini bukan lagi isu serantau tetapi medan ujian bagi keadilan global.

“Gelombang pengiktirafan ini mungkin menjadi titik tolak kepada tekanan antarabangsa yang lebih serius terhadap Israel. Dunia kini diuji sama ada mampu menegakkan keadilan atau terus berdiam diri,” kata Profesor Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah dari ISIS Malaysia.

* Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah Wartawan Nasional Sinar Harian