SATU perlu RM500 juta ganti paip usang, kritikal di Terengganu

Iklan
SATU perlukan RM500 juta bagi ganti paip usang dan kritikal di Terengganu.

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Syarikat Air Terengganu (SATU) memerlukan peruntukan kira-kira RM500 juta bagi kerja pembaikan serta penggantian paip usang dan kritikal di seluruh negeri bagi menjamin kelangsungan bekalan air kepada rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut berkata, sebagai langkah awal, pelarasan tarif air telah dilaksanakan pada 2022 selepas 27 tahun tidak pernah disemak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sambungan pelarasan pada Ogos 2025 pula menjadi langkah penting bagi menampung sebahagian kos tersebut serta memastikan operasi bekalan air tidak terjejas.

"Daripada keseluruhan 8,600 kilometer jajaran paip di Terengganu, kira-kira 1,300 kilometer adalah paip asbestos cement (AC) yang usang dan melebihi jangka hayat.

Iklan

"Daripada jumlah itu, hampir 580 kilometer di 130 lokasi dikenal pasti sebagai paip kritikal dan perlu ditukar segera.

"Kos ini perlu ditanggung kerajaan negeri dan SATU. Tanpa pelarasan tarif adalah mustahil untuk menampung kos penggantian paip, penyelenggaraan serta operasi harian disebabkan semua kos bahan meningkat," katanya memetik laporan portal rasmi kerajaan negeri, Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Selasa.

Iklan

Menurut Abdul Karim, bagi tahun ini, kos penyelenggaraan dianggarkan sekitar RM50 juta, manakala hampir 40 peratus daripada keseluruhan kos operasi melibatkan tenaga elektrik iaitu sekitar RM70 juta hingga RM80 juta setahun.

"Kenaikan tarif elektrik bermula Julai 2025 serta peluasan skop SST lapan peratus telah menambah kira-kira 10 peratus dan lapan peratus kepada kos operasi SATU," jelasnya.

Beliau berkata, SATU juga melaksanakan pelbagai pelaburan besar bagi menyelesaikan isu bekalan air di beberapa daerah.

"Sebagai contoh, di Marang sahaja SATU membelanjakan RM64 juta untuk mengatasi masalah tekanan rendah dan ketiadaan air. Banyak masalah berjaya diselesaikan terutama ketika musim perayaan dan cuti umum," katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan apabila SATU turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan.

Antaranya, pemberian subsidi 20 meter padu air pertama kepada hampir 12,000 pengguna dengan kos RM1.4 juta, selain bekalan percuma kepada 2,152 masjid dan surau yang melibatkan kos RM1.02 juta.

"Langkah ini menjadikan Terengganu negeri di Malaysia yang menyediakan subsidi air percuma melalui syarikat air negeri kepada institusi agama," tambahnya.

Mengulas mengenai isu kenaikan bil air, jelas beliau, pihaknya memahami kebimbangan rakyat berhubung perkara itu.

"Pengguna disaran dan dinasihatkan agar membuat semakan atau pertanyaan terus kepada pihak SATU sekiranya ada sebarang kemusykilan berkenaan bil air," ujarnya.