NIBONG TEBAL - Kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini pada pagi Selasa akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas hampir 10 jam operasi dijalankan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kebakaran melibatkan longgokan sampah di fasa tiga tapak pelupusan berkeluasan kira-kira 0.6 ekar.
Menurutnya, hanya tiga peratus daripada keseluruhan keluasan 25.96 ekar kawasan tapak pelupusan yang terlibat dengan kebakaran yang berlaku sejak jam 6.30 pagi tadi.
"Dengan kekuatan 32 anggota dan pegawai berserta pasukan bomba sukarela (PBS) berjaya mengawal kebakaran yang berlaku pada jam 9.30 pagi.
"Bagaimanapun masih berlaku pembakaran di bahagian bawah timbunan sampah,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua anggota yang bertugas dibahagikan kepada dua sektor dalam operasi memadamkan api dengan menggunakan kaedah serangan terus serta pembanjiran menyeluruh, selain tindakan fire break dengan bantuan empat unit jentera pengorek.
Katanya, bagi mengatasi ketiadaan pili bomba berhampiran lokasi kebakaran, sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan water tanker melalui kaedah relay pumping.
"Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 4.05 petang sebelum kerja overhaul selesai dan operasi ditamatkan pada jam 5 petang," katanya lagi.
John Sagun berkata, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Tambahnya, operasi turut mendapat bantuan daripada pasukanbMalis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta PBS Nibong Tebal, Parit Buntar dan Tanjung Piandang.