SINTOK - Panas terik tengah hari tidak mampu menandingi rasa sepi di hati Putera Iman Shah Shahiran, 19, ketika menuruni tangga Stesen Kereta Api Arau dengan beg besar terseret di tangan dan dua beg sandang di bahu.
Anak tunggal yatim piatu itu tiba untuk mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) tanpa ditemani sesiapa, hanya berbekalkan semangat dan kenangan bersama arwah ibu serta ayah yang sudah pergi menghadap Ilahi.
Sebaik tiba di stesen Arau dari Bukit Mertajam, Putera hanya mampu memandang sekeliling menyaksikan pelajar lain disambut mesra ibu bapa masing-masing, sedang dirinya sendirian menggenggam beg besar.
Namun, takdir ALLAH SWT menentukan, apabila kisah Putera sampai ke pengetahuan Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan, yang kemudian mengarahkan staf Inapan Siswa (Inasis) SME Bank menjemputnya.
“Saya rasa lega, seolah-olah ada keluarga yang menyambut saya. Terima kasih atas hospitaliti UUM,” katanya dengan linangan air mata ketika ditemui di kampus pada Selasa.
Menurut Putera, ibunya, Allahyarhamah Khatijah Mohd Rashid meninggal dunia ketika dia di Tingkatan 1 pada 2019, manakala ayahnya, Shahiran Pake Chi, 57, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menghembuskan nafas terakhir dalam tidur bulan lalu, hanya beberapa minggu sebelum dirinya melangkah ke menara gading.
“Setibanya saya di Sintok pada 12.59 tengah hari, iaitu detik akhir pendaftaran, saya terus dibawa mendaftar di Inasis SME Bank dan diberikan bilik di Blok B.
“Bila masuk bilik, saya amat bersyukur. Ada katil, suasana selesa, bagi saya itu sudah lebih daripada cukup,” katanya.
Putera berkelulusan Kolej Matrikulasi dengan CGPA 3.71, kini melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pemasaran.
“Walaupun saya diuji hilang tempat bergantung, saya nekad menjadikan pendidikan sebagai bekalan masa depan,” katanya.
Putera merupakan antara 4,549 pelajar baharu yang mendaftar pada Selasa dan menyertai komuniti 30,212 pelajar UUM.
Pada sidang media sebelum itu, Mohd Foad memaklumkan, UUM menerima seramai 4,549 pelajar baharu terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi akademik 2025/2026.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 4,381 orang adalah pelajar tempatan yang merupakan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/setaraf, Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), manakala 168 orang atau 3.7 peratus adalah pelajar antarabangsa.
“Daripada pelajar tempatan, 4,118 orang mendaftar melalui UPU, manakala 263 orang lagi melalui saluran Asasi Pengurusan UUM.
“Pada kemasukan kali ini, 69 peratus atau 3,143 adalah pelajar perempuan, manakala pelajar lelaki berjumlah 31 peratus (1,406 orang),” katanya.
Mohd Foad berkata, UUM turut menerima kemasukan 110 pelajar peringkat Sarjana Muda dari Indonesia seramai 81 pelajar, diikuti China (15), Thailand (5), Somalia (4) dan Uzbekistan (2), manakala masing-masing seorang dari Pakistan, Yaman dan Bangladesh.
”Seramai 57 pelajar mobiliti turut mendaftar dari Indonesia (33), Uzbekistan (16), China (3), Brunei (3), Timor Leste (1) dan Perancis (1). Seorang lagi pelajar merupakan warganegara Malaysia tetapi mendapat pendidikan dan menetap di luar negara,” katanya.
Tambah beliau, program pengajian Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian mencatat kemasukan terbesar seramai 430 pelajar, diikuti Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (230) dan Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan Kepujian (227).
”Bagi program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan Kepujian, UUM masih mengekalkan syarat CGPA masuk 4.00 untuk lepasan STPM dan Matrikulasi.
“UUM juga menerima 11 pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), sembilan pelajar Orang Asli serta sembilan pasangan kembar,” katanya.
Secara keseluruhan, jumlah pelajar UUM kini mencecah 30,212 orang, terdiri daripada 26,398 pelajar sarjana muda dan 3,814 pelajar pascasiswazah.