Sindiket jual kereta mewah seludup dari Singapura serendah RM10,000 tumpas

Iklan
Antara kenderaan mewah seludup yang dirampas JKDM. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Kegiatan sindiket antarabangsa yang mengedar kereta mewah seludup dari Singapura dengan tawaran harga hingga 40 peratus lebih rendah daripada pasaran berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di sekitar Johor Bahru, Johor.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung kegiatan itu menjalankan risikan selama sebulan dan melancarkan operasi khas pada 18 hingga 24 Mei lalu.

Iklan
Iklan

"Hasil operasi, kami berjaya merampas sembilan kenderaan mewah bernilai RM1.46 juta dipercayai diseludup dari negara jiran dengan anggaran cukai dielak RM2.75 juta.

“Kereta berkenaan termasuk jenis Porsche Panamera, Mercedes Benz, BMW, Audi A5 dan Jaguar berusia lebih lima tahun," katanya ketika sidang akhbar di Wisma Kastam, Padang Bongor di sini pada Selasa.

Iklan

Wan Jamal Abdul Salam (kanan) yang menunjukkan Porsche Panamera. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Menurut beliau, modus operandi sindiket meletakkan kereta-kereta mewah itu di beberapa kawasan parkir sekitar Johor Bahru sebelum menjalankan proses penjualan kepada pembeli yang merupakan rakyat Malaysia dari pelbagai negeri.

Iklan

"Hasil siasatan awal, sindiket dipercayai dianggotai rakyat tempatan dan Singapura serta menyasarkan pembeli yang mahu mengayakan kereta mewah dengan tawaran harga murah.

“Kereta seludup berharga serendah RM10,000 ini menjadi umpan utama sindiket untuk menarik pembeli yang tidak memikirkan risiko undang-undang," katanya.

Beliau berkata, kenderaan berkenaan diklasifikasi sebagai barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda minimum 10 kali ganda nilai barang atau minimum RM50,000 yang mana lebih tinggi dan maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun bagi kesalahan pertama.

“Sehubungan itu, saya nasihatkan orang awam supaya sedar pembeli boleh dikenakan tindakan undang-undang dan perampasan kenderaan,” tegasnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa tujuh lagi kereta mewah dipercayai milik sindiket sama sedang dikenal pasti dan akan didedahkan selepas proses siasatan selesai.

Selain kejayaan tersebut, JKDM Kelantan turut mencatatkan prestasi membanggakan sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini dengan 958 kes rampasan pelbagai komoditi bernilai RM50.29 juta melibatkan cukai lebih RM15.82 juta.

Rampasan terbesar melibatkan dadah bernilai RM21.36 juta, diikuti rokok (RM2.19 juta) dan ayam beku (RM2.11 juta).

“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan rakyat,” katanya.