SHAH ALAM – Misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini dilaporkan telah merentas perairan Greece dan semakin hampir memasuki zon kuning, kira-kira 300 batu nautika dari pantai Gaza.
ZRA Strim atau nama penuhnya Zainal Rashid Ahmad berkata, sebanyak 53 kapal terlibat dalam konvoi tersebut.
"Zon kuning merujuk kepada kawasan perairan antarabangsa yang sering digunakan Israel untuk memintas kapal flotila. Sejak 2008, sebanyak 36 pelayaran flotila pernah dipintas di kawasan ini.
"Selepas 24 jam melepasi zon kuning, konvoi GSF dijangka memasuki zon merah, iaitu kira-kira 100 batu nautika dari Gaza," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, kerajaan Israel dalam satu kenyataan menegaskan tidak akan membenarkan sebarang flotila memecahkan sekatan laut ke atas Gaza.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Israel menyifatkan Gaza sebagai “zon pertempuran aktif” dan menuduh kumpulan Hamas mengatur flotila berkenaan demi kepentingan politik mereka.
Israel bagaimanapun memaklumkan pihaknya bersedia membenarkan kapal-kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Ashkelon, di mana bantuan boleh dipunggah dan dihantar ke Gaza melalui saluran yang diselaraskan.
ZRA menjelaskan kedua-dua zon berkenaan amat kritikal dan semua pelayar telah diberikan taklimat mengenai risiko yang bakal dihadapi.
"Doakan agar semua kapal serta lebih 500 pelayar selamat tiba di Gaza dengan membawa bantuan makanan dan perubatan," katanya.