KOTA TINGGI – Tiga lelaki termasuk dua beradik dua beradik mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas tuduhan menyimpan bangkai seekor harimau belang betina (Panthera Tigris Jacksoni) tanpa permit khas, minggu lalu.
Tertuduh, Md Shaheezam Md Salim, 49, Nazerin Tomiran, 47 dan adiknya, Mohamad Nazrol, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama menyimpan bangkai harimau belang itu di bahagian bonet belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di sebuah stesen minyak di Felda Tenggaroh, Mersing pada jam 6.10 pagi, 16 September lalu.
Haiwan itu adalah spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan hanya boleh disimpan dengan permit khas.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hanum Abdul Hadi dan Anongrakh Wechit manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Md Shaheezam merayu hukuman diringankan kerana menghidap kanser hati tahap empat selain menanggung lima anak dengan pendapatan RM1,800 sebulan sebagai pemandu ladang.
Nazerin pula memaklumkan dia menghidap sakit buah pinggang dan mempunyai empat anak, manakala adiknya, Mohamad Nazrol yang juga menghidap penyakit sama baru berkahwin serta berpendapatan tidak tetap kira-kira RM2,000 sebulan sebagai jurukimpal.
Bagaimanapun, Fatin Hanum memohon hukuman setimpal dikenakan kerana kesalahan itu sangat serius melibatkan hidupan liar ikonik negara yang kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor di Semenanjung Malaysia.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM250,000 terhadap setiap tertuduh dan sekiranya gagal membayar, mereka akan dipenjara tujuh tahun.
Mahkamah turut memerintahkan eksibit harimau belang itu dilupuskan, manakala MPV, anak kunci serta empat telefon bimbit milik tertuduh dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.