Kerani didenda RM500, tinggi suara kepada Ketua Polis Perak

Iklan
Seorang kerani didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkelakuan tidak senonoh terhadap Ketua Polis Perak.

IPOH - Seorang lelaki didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dengan meninggikan suara terhadap Ketua Polis Perak dalam kejadian Mei lalu.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan juga memerintahkan tertuduh, Abang Fikri Abang Mohd Tawfik, 37, menjalani hukuman penjara tujuh hari jika gagal membayar denda itu.

Iklan
Iklan

Tertuduh yang bertugas sebagai kerani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam Pejabat Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak jam 1.30 tengah hari pada 26 Mei 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 90 Akta Polis yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Nishaalini manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G Harbhajan Singh.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah datang ke IPK Perak untuk berjumpa dengan Ketua Polis Perak bagi mengetahui status kertas siasatan tatatertib yang dibuka terhadapnya pada tahun 2017.

Iklan

Tertuduh bertindak melulu masuk ke Pejabat Ketua Polis Perak dan mengamuk sebelum meninggikan suara kepada Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.

Laporan polis dibuat terhadap lelaki itu dengan tangkapan dilakukan pada hari sama.