BARU-BARU ini, riuh seketika di media sosial apabila seorang artis wanita, yang juga anak kepada seorang artis wanita membuat satu kenyataan kontroversi.
Dia menyebut bahawa apabila dia membuka tudung, dia lebih dekat kepada ALLAH.
Perkara tersebut disanggah oleh pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus dalam satu rakaman video yang dimuat naik di YouTube pada Rabu.
“Kita dekat dengan ALLAH kerana kita taat kepada perintah-NYA.
“Dan kita jauh daripada ALLAH kerana tidak taat kepada perintah-NYA,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sesiapa yang merasakan dirinya dekat dengan ALLAH, maka DIA akan menjadikan dia taat kepada perintah-NYA.
“Dan tidak boleh orang yang derhaka itu dekat dengan ALLAH (kerana perbuatan maksiatnya).
“Apa perintah ALLAH berkaitan dengan pemakaian tudung ini?” soal Ustaz Azhar.
Beliau kemudiannya membacakan ayat ke-59 surah al-Ahzab: “Wahai nabi, suruhlah isteri-isteri kamu dan anak-anak perempuan kamu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) ALLAH MAHA PENGAMPUN lagi MAHA MENGASIHANI.”
Jelasnya, berdasarkan ayat ini, hendaklah wanita-wanita Muslim untuk memakai jilbab atau tudung.
“(Kerana) orang yang pakai tudung itu lebih dekat dengan ALLAH dan orang yang buka tudung itu lebih jauh daripada ALLAH,” hurainya.
Tambahnya, memakai tudung merupakan perintah ALLAH dan sebaliknya membuka tudung serta mendedahkan aurat ialah tanda orang itu derhaka kepada ALLAH dan dia tidak lagi takut untuk masuk neraka pada hari akhirat nanti.