PUTRAJAYA – Meta dan semua platform media sosial lain diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur serta identiti yang lebih berkesan seperti penggunaan MyKad dan MyDigital ID bagi menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting kerana sistem sedia ada masih gagal menyekat pengguna bawah umur daripada mendaftar akaun baharu.
“Kami mahu semua platform bertindak segera memperkenalkan kaedah pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada kandungan yang menyalahi undang-undang termasuk judi dalam talian, penipuan, berita palsu, kandungan 3R dan produk terlarang,” katanya dalam satu kenyataan.
Gesaan itu susulan pertemuan bersama pihak Meta di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Isnin, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), wakil Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada isu kritikal membabitkan platform Meta khususnya Facebook termasuk aktiviti judi dalam talian, penipuan (scam), penyebaran berita palsu, kandungan 3R dan penjualan produk terlarang seperti cecair e-rokok mengandungi dadah.
Sehingga 19 September 2025, sejumlah 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada Meta bagi platform Facebook sahaja.
Jumlah itu mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan di semua platform media sosial, menjadikan Facebook sebagai platform dengan aduan tertinggi.
Daripada jumlah itu, 120,127 permohonan berkaitan judi dalam talian namun hanya 114,665 kandungan diturunkan, manakala bagi aktiviti scam, daripada 37,722 permohonan, sebanyak 36,918 berjaya diturunkan.
Fahmi berkata, baki kandungan yang masih berlegar di platform Facebook amat membimbangkan.
“Situasi ini boleh memerangkap lebih ramai mangsa dalam jenayah siber sekiranya tidak ditangani segera,” jelasnya.
Berdasarkan statistik JSJK PDRM, kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp bagi tempoh 2023 hingga Ogos lalu mencatat jumlah kerugian terkumpul lebih RM248 juta melibatkan 18,128 kes.
"Jumlah itu menunjukkan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.
"Hal ini memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat," katanya.
Walaupun Meta memberi jaminan akan mempertingkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih berkesan, Fahmi menegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan digital,
“Meta dan semua penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara segera diturunkan,” tegasnya.
Tambah beliau, Kementerian Komunikasi bersama agensi penguatkuasaan akan memperkukuh langkah pemantauan serta mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama tidak dipertingkatkan oleh Meta.