Penunggang maut motosikal terbabas langgar pembahagi jalan

Iklan
Keadaan motosikal jenis Modenas Ninja ZX250 yang ditunggang mangsa selepas terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 8, Jalan Temerloh-Mentakab awal pagi Isnin.

TEMERLOH – Seorang pengusaha syarikat kawalan keselamatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan di hadapan sebuah kuil di Kilometer 8, Jalan Temerloh–Mentakab, di sini, awal pagi Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintenden Marina Hashim, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa, S Ravichanthiran, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Ninja ZX250 sedang dalam perjalanan menghala ke Mentakab.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang batu di tengah jalan.

Iklan

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Marina berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, untuk proses bedah siasat.

Iklan

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.