ALOR GAJAH - Orang ramai yang sedang bermandi-manda di Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah di sini pada Ahad gempar apabila seekor ular sawa batik sepanjang hampir dua meter tiba-tiba muncul berenang di laut.
Kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu mencetuskan suasana panik apabila reptilia seberat lapan kilogram itu dikesan dalam jarak kira-kira 25 meter dari pesisir pantai.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Shahrulnizam Md Shah berkata, pengunjung yang sedang beriadah bergegas naik ke darat sebelum melaporkan kejadian itu kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas di Menara Penyelamat Pantai.
Menurutnya, dua anggotanya iaitu Lans Koperal (PA) Muhammad Shahril Hizhar Anuawi dan Prebet (PA) Muhammad Irsyad Dini Tawi segera ke lokasi menggunakan papan luncur penyelamat (Surf Rescue Board) dan tanjul ular untuk melakukan kerja-kerja menangkap reptilia berkenaan.
“Ini kali pertama kami berdepan kes ular sawa di laut dan cabarannya agak besar kerana reptilia itu bergerak dengan pantas.
"Anggota kami mengekori dan mengepungnya ke pantai sebelum berjaya menangkapnya dalam masa kira-kira 30 minit," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Ujarnya, ular sawa itu dipercayai keluar dari kawasan semak berhampiran muara sungai di Kem Terendak untuk mencari makan.
"Kita juga menasihatkan pengunjung agar sentiasa berwaspada serta segera memaklumkan kepada APM sekiranya ternampak haiwan berbisa atau berbahaya di kawasan pantai peranginan itu," katanya lahi.