Had umur rogol statutori wajar disemak semula - Peguam

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Polis Kelantan cadang perempuan juga dikenakan tindakan jika terlibat seks suka sama suka. Gambar kecil: Nik Saiful Adli

KOTA BHARU – Cadangan Ketua Polis Kelantan supaya tindakan undang-undang turut dikenakan terhadap pengadu atau mangsa sekiranya terbukti perbuatan seks bawah umur dilakukan secara suka sama suka, disifatkan sebagai langkah yang wajar untuk dibincangkan semula di peringkat penggubal undang-undang.

Peguambela dan Peguamcara, Nik Saiful Adli Burhan berkata, cadangan tersebut perlu difahami secara adil, rasional dan berpandukan realiti sebenar kes-kes rogol bawah umur yang dibicarakan di mahkamah.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pengalaman lebih satu dekad mengendalikan kes jenayah menunjukkan bahawa kebanyakan kes rogol bawah umur sebenarnya bermula daripada hubungan rela antara pasangan remaja, dan bukan serangan paksa.

“Majoriti kes bukan dilaporkan oleh mangsa sendiri, sebaliknya hanya dikesan apabila keluarga atau pihak hospital membuat laporan contohnya selepas berlaku kehamilan.

Iklan

“Dalam keadaan ini, polis dan mahkamah tidak mempunyai budi bicara kerana undang-undang menolak apa-apa pembelaan kerelaan jika mangsa berumur di bawah 16 tahun,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, pada Ahad yang mendedahkan bahawa hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di negeri ini berlaku secara suka sama suka, namun undang-undang sedia ada hanya membenarkan pendakwaan terhadap lelaki.

Iklan

Nik Saiful berkata, dua peruntukan utama yang terpakai dalam kes seumpama itu ialah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang menetapkan had umur 16 tahun dan Seksyen 2(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang meletakkan had umur 18 tahun.

“Sudah tiba masanya had umur rogol statutori disemak semula supaya lebih realistik dengan tahap kematangan remaja masa kini.

“Had umur wajar dipertimbangkan untuk diturunkan kepada 14 tahun, dan hakim perlu diberi kuasa menilai tahap kematangan seseorang, bukan hanya bergantung kepada angka umur,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kes yang terbukti dilakukan secara rela tetapi tidak boleh didakwa sebagai rogol dibawa ke Mahkamah Syariah menerusi kerjasama yang lebih erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Jika terbukti kedua-dua pihak rela, tindakan boleh diambil di bawah kesalahan zina bagi mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab menjaga maruah diri.

“Undang-undang tidak boleh dilihat hanya sebagai alat menghukum, sebaliknya sebagai mekanisme pendidikan,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Yusoff mencadangkan supaya tindakan undang-undang turut dikenakan terhadap perempuan yang terbabit dalam hubungan seks bawah umur sekiranya terbukti rela, bagi membendung trend peningkatan kes rogol melibatkan remaja.