BUDI95: PDAM gesa rakyat, kerajaan bekerjasama elak keadaan tidak terkawal di stesen minyak

Iklan
PDAM menggesa orang ramai supaya bersabar dan bekerjasama dengan pihak kerajaan serta pengusaha stesen minyak bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 berjalan lancar - Gambar hiasan

SHAH ALAM – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa orang ramai supaya bersabar dan bekerjasama dengan pihak kerajaan serta pengusaha stesen minyak bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 berjalan lancar tanpa mencetuskan suasana tidak terkawal di stesen-stesen minyak.

Persatuan itu dalam satu kenyataan berkata, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter sekiranya dilaksanakan secara berasingan tidak menjadi isu kerana penyelarasan harga mingguan pernah dilakukan sebelum ini tanpa kesulitan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, mekanisme subsidi bersasar melibatkan pengesahan kelayakan pelanggan adalah lebih kompleks dan memerlukan persiapan rapi daripada semua pihak.

“Persiapan sedang dijalankan, namun tahap kesiapsiagaan adalah berbeza mengikut jenama dan turut berubah dari hari ke hari. Apabila sistem ini dilancarkan, mungkin akan terdapat beberapa cabaran serta kesulitan pada peringkat awal.

Iklan

“Justeru, kami merayu kerjasama serta kesabaran orang ramai sepanjang tempoh peralihan ini. Para pengusaha stesen minyak bersama kakitangan mereka akan berusaha sebaik mungkin membantu pelanggan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

PDAM turut menyarankan agar talian hotline daripada pihak kerajaan diwujudkan bagi memudahkan orang ramai sekiranya berdepan sebarang masalah.

Iklan

Beliau berkata, masyarakat juga diharapkan dapat memberi kerjasama secara konstruktif serta mengelakkan sebarang situasi yang tidak terkawal di stesen minyak.

Dalam pada itu, PDAM merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan kerana mengambil kira kebimbangan pengusaha stesen minyak dalam persediaan menuju pelaksanaan subsidi bersasar tersebut.

“Kami berharap semua perkara berbangkit dapat ditangani sepenuhnya sebelum pelancaran, dan PDAM akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak bagi memastikan pelaksanaan ini berjalan lancar,” katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memutuskan pengenalan kadar baharu RON95 iaitu RM1.99 seliter bermula Selasa minggu depan.

Jelas Menteri Kewangan itu, keputusan itu sebagai pengiktirafan kepada rakyat sempena Hari Kementerian dan Hari Malaysia.

Selain itu, Anwar menegaskan kerajaan turut menetapkan semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95) bermula 30 September depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagih secara adil kepada pengguna layak selain mengelakkan ketirisan.