PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) yang dianggotai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mengutip sebanyak RM705.552 juta menerusi siasatan jenayah kewangan dan ketirisan hasil pada tahun 2024.
Jumlah tersebut merangkumi pelbagai bentuk penyelesaian seperti bayaran cukai, kompaun, denda dan pertuduhan di mahkamah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan MATF pada tahun lalu termasuk merekodkan tangkapan 34 penjawat awam dan 27 orang awam, sementara pertuduhan melibatkan 25 penjawat awam serta lapan individu dikenakan tindakan tatatertib.
Menurutnya, MATF terdiri daripada gabungan beberapa agensi utama kerajaan, termasuk SPRM sebagai peneraju dalam koordinasi penyiasatan dan rundingan antarabangsa.
“Jabatan Peguam Negara (AGC) pula mengendalikan tindakan undang-undang dan forfeiture (rampasan). Bank Negara Malaysia (BNM) berperanan menyediakan data transaksi kewangan, manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyokong siasatan jenayah.
“Selain itu, MATF juga melibatkan Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi kewangan dan penguatkuasaan lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pada Isnin.
Beliau berkata, SPRM memainkan peranan khusus sebagai penggerak utama MATF dengan tanggungjawab menyelaras siasatan seperti mengurus pengumpulan bukti, mengesan aliran wang dan aset serta mengemukakan permintaan bantuan undang-undang antarabangsa.
Tambah Azam, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan agensi luar negara lain bagi tujuan pemulangan aset.
“SPRM akan memastikan aset yang berjaya dipulangkan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” ujarnya.
Jelas beliau, objektif utama MATF adalah untuk menangani kes-kes berprofil tinggi, mengekang ketirisan dana awam serta memulihkan hasil negara melalui kutipan cukai, kompaun dan tindakan undang-undang.
MATF telah ditubuhkan pada tahun 2018 oleh Kerajaan Malaysia susulan pendedahan skandal 1MDB.