UK bersama Kanada, Australia serentak umum iktiraf Palestin

Iklan
Keir Starmer

LONDON – Kerajaan United Kingdom (UK) secara rasmi mengiktiraf negara Palestin selepas lebih 100 tahun Deklarasi Balfour yang membuka jalan kepada penubuhan Israel.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, keputusan itu dibuat ketika keganasan di Gaza semakin memuncak dengan Israel terus melancarkan serangan serta memusnahkan bandar utama di wilayah berkenaan.

Iklan
Iklan

“Dalam menghadapi ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah, kami bertindak untuk memastikan prospek keamanan dan penyelesaian dua negara,” katanya dalam satu kenyataan video pada Ahad.

Pada Julai lalu, Starmer menyatakan UK akan mengiktiraf negara Palestin pada bulan ini melainkan kerajaan Israel mengambil ‘langkah substantif’.

Iklan

Pengumuman itu dibuat selepas tekanan semakin meningkat terhadap kerajaan Britain supaya mengumumkan pengiktirafan rasmi.

Langkah UK itu turut dibuat serentak dengan Kanada dan Australia yang mengiktiraf Palestin menjelang pembukaan sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) minggu ini.

Iklan

Setiausaha Luar Britain, Yvette Cooper berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen kukuh London terhadap penyelesaian dua negara, selain menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka.

Sementara itu, Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai mesej penting serta harapan baharu kepada rakyat negara itu untuk mencapai kebebasan dan kedaulatan penuh.

Beliau turut menegaskan tindakan Israel di Gaza dan Tebing Barat adalah serangan sistematik yang bertujuan menghapuskan kewujudan serta masa depan rakyat Palestin.

Sebagai rekod, UK secara tradisinya merupakan penyokong kuat Israel, namun mengubah pendirian susulan serangan besar-besaran rejim itu ke atas Gaza yang tercetus selepas serangan mengejut Hamas pada 2023.

Sejak itu, wilayah kecil Palestin mengalami kemusnahan besar, angka kematian meningkat serta berlaku kekurangan makanan yang mencetuskan krisis kemanusiaan serius.