‘Kami mahu pulang segera, rindu suasana Kampung Sungai Baru’

Iklan
Majoriti penduduk mahu melihat perubahan dan kemajuan positif Kampung Sungai Baru selari dengan peredaran zaman. Foto Bernama

BANGSAR - Majoriti penduduk Kampung Sungai Baru menyatakan hasrat ingin pulang segera ke tempat asalnya kerana terlalu rindukan suasana kampung tersebut.

Bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), Abdul Manap Ismail, 86, berkata, hasrat tersebut diluahkan kerana mahu melihat perubahan dan kemajuan positif selari dengan peredaran zaman setelah menetap di flat Kampung Sungai Baru sejak 60 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Abdul Manap.

Menurutnya, segala fitnah dan cerita tidak benar dilemparkan pelbagai pihak merencatkan usaha pemaju, termasuk keinginan majoriti penduduk yang menandatangani surat persetujuan untuk pulang semula mendiami kampung berkenaan.

Iklan

“Saya antara yang terawal bersetuju dan kini menetap di rumah transit di Residensi Kerinchi sejak sembilan tahun lalu.

“Harapan saya selepas ini kalau tangguh lagi atau projek segera bermula tak mengapa, saya hanya berserah kepada ALLAH SWT.

Iklan

“Tetapi yang saya nak tekankan, itu (tanah pusaka) hak saya dan saya mesti pulang ke sana juga,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Pemilik Hartanah dan Kebajikan Kampung Sungai Baru, Moerdani Kamsah, 55, pula berpandangan, usaha pemaju untuk membangunkan lanskap yang lebih moden wajar diberi sokongan, bukannya kecaman.

Moerdani.

“Bila pemaju datang nak buat kemajuan, saya sokong dan ikut serta. Dah sembilan tahun tunggu walaupun kami disediakan rumah transit secara percuma.

“Tetapi, tidak sama seperti rumah sendiri, saya mahu patah balik ke Kampung Sungai Baru kerana saya lahir di situ. Dahulu, rumah flat saya hanya satu bilik dan tinggal bersama tujuh beranak.

“Selepas ini, kami dapat rumah berukuran 969 kaki persegi, tiga bilik, tiga tandas dan dua parkir lot. Itulah kemajuan yang saya nak,” jelasnya.

Warga emas, Zamanudin Sulong, 73, turut senada dengan pendapat Abdul Manap dan Moerdani bahawa kemajuan disediakan pihak terlibat mampu memuaskan hati penduduk sekali gus membawa kepada peningkatan ekonomi setempat.

Zamanudin.

“Kami yakin dengan pemaju setelah beberapa kali siri mesyuarat diadakan bersama persatuan dan penduduk.

“Tetapi, kami marah sangat bila isu ini dijadikan fitnah oleh golongan yang tak tahu pucuk-pangkal cerita,” ujar Zamanudin yang menetap di sana sejak 50-an lagi.