WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kian tersasar daripada peranannya sebagai ‘pendamai global’ apabila beliau semakin agresif dan mengancam untuk menghukum Afghanistan yang kini dipimpin Taliban.
Ugutan itu dibuat setelah Trump dikatakan naik angin hanya kerana mahu mengambil alih semula pangkalan tentera udara Bagram.
“Jika Kabul tidak serahkan semula pangkalan tentera itu kepada AS, perkara buruk pastinya akan berlaku,” menurut catatan pemimpin berusia 79 tahun itu di platform Truth Social pada Sabtu.
Ancaman tidak jelas itu dibuat beberapa hari selepas Trump mencadangkan Washington mengambil semula kawalan ke atas pangkalan tersebut ketika lawatan negara ke Britain pada minggu lalu.
“Kami cuba mendapatkannya semula dan ia pastinya menjadi berita tergempar,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
Bagram yang terletak hampir dengan China merupakan pangkalan udara terbesar di Afghanistan dan menjadi tunjang kepada operasi ketenteraan diketuai AS untuk memerangi pejuang Taliban yang digulingkan Washington selepas tragedi 9/11.
Trump berulang kali merungut tentang ‘kehilangan’ hak AS ke atas Bagram selain bimbang terhadap pengaruh Beijing yang semakin meningkat di Kabul.
Ketika disoal petugas media sama ada beliau mempertimbangkan langkah mengerahkan tentera AS untuk merampas semula Bagram, Presiden ke-47 AS itu dilihat cuba memberi jawapan selamat.
“Saya enggan bercakap tentang perkara itu dan hanya mahukan semula pangkalan tersebut. Jika Afghanistan masih berdegil, tunggu dan lihat apa yang akan terjadi,” katanya dalam nada ugutan. - AFP
Info:
>Tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meninggalkan Bagram secara tergesa-gesa pada Julai 2021 di bawah perjanjian damai diusahakan Trump, sekali gus menandakan berakhirnya cengkaman Washington di Kabul.