Kor Ming pertahan kebebasan media, sokong rayuan Sinar Harian, Sin Chew

Iklan
Nga Kor Ming

SHAH ALAM – Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming menyatakan sokongan penuh terhadap dua organisasi media utama negara, Sinar Harian dan Sin Chew Daily berhubung rayuan mereka terhadap denda RM100,000 yang dikenakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kor Ming berkata, kebebasan media perlu dipertahankan dan pendekatan berhemah lebih wajar dalam menangani kesilapan yang tidak disengajakan.

Iklan
Iklan

Jelasnya, sebagai manusia sudah pasti tidak lari daripada melakukan kesilapan.

“Memaafkan adalah suatu nilai mulia. Dalam hal kesilapan yang tidak disengajakan, bimbingan dan belas kasihan selalunya lebih berkesan dalam membetulkan kesilapan.

Iklan

“Apabila menyedari kesilapan mereka, Sinar Harian segera memohon maaf selepas tersalah lapor mengenai biografi Ketua Polis Negara.

“Sin Chew Daily juga segera mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan editorial yang tidak disengajakan dalam insiden bendera negara dan menggantung kakitangan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Sebelum ini, SKMM memaklumkan pihaknya mengenakan kompaun RM100,000 terhadap kedua-dua syarikat akhbar berkenaan susulan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap serta kesilapan dalam infografik berkaitan Ketua Polis Negara yang baharu.

Susulan itu, Majlis Media Malaysia (MMM) berkata, denda berat sedemikian berisiko membangkitkan suasana yang dipenuhi ketakutan dan membawa kepada amalan penapisan kendiri melampau dalam kalangan wartawan dan editor.

Pas pula menyifatkan tindakan SKMM itu sebagai keterlaluan, kelihatan seperti cubaan ‘membuli’ media.

Pada masa sama, Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin turut memberi amaran betapa Kerajaan Madani berisiko kehilangan sokongan susulan tindakan keras SKMM terhadap dua syarikat media terbabit kerana tidak mencerminkan semangat reformasi dibawa kerajaan Madani.

Tambah Kor Ming, tindakan sebegini boleh melemahkan prinsip keterangkuman dan mencabar kebebasan bersuara di negara ini.

“Adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman berat atas kesilapan jujur yang segera diperbetulkan, sedangkan kesalahan serupa dilakukan pihak lain dibiarkan begitu sahaja,” jelasnya.

Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memuji pendekatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang diketuai Pakatan Harapan apabila menegur dengan baik serta membantu menggantikan bendera terbalik yang dipasang orang awam.

Beliau memberitahu, Malaysia ialah negara yang berteraskan keluhuran undang-undang dan nilai kesopanan.

“Rukun Negara jelas mengangkat prinsip ini. Asas pembentukan negara kita juga berpaksikan kepada kepelbagaian, keterangkuman, belas kasihan dan keterbukaan.

“Oleh itu, pendekatan MBPP merupakan contoh terbaik yang harus diikuti oleh seluruh rakyat Malaysia, kerana ia memperkukuh perpaduan dan mengelakkan masyarakat daripada terjerumus ke arah ekstremisme serta polarisasi.

“Hanya dengan mengamalkan keterbukaan dan toleransi, kita dapat membina masyarakat yang lebih harmoni serta matang,” ujarnya.