KOTA BHARU – Polis Kelantan mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri ini adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
“Sekarang ini undang-undang sedia ada lebih menjurus kepada pendakwaan terhadap lelaki sahaja, sedangkan siasatan mendapati banyak kes kedua-dua pihak sama-sama rela.
“Apabila laporan dibuat, kita tetap kena buka kertas siasatan dan mengenakan pertuduhan terhadap lelaki mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Kanak-Kanak, walaupun ada pengakuan ia dilakukan suka sama suka,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas trend peningkatan kes rogol dan jenayah seksual membabitkan remaja di Kelantan yang semakin membimbangkan sejak tahun lalu.
Menurutnya, cadangan itu akan dibincangkan bersama Pejabat Peguam Negara, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan pihak berkaitan bagi memperhalusi mekanisme undang-undang supaya tindakan yang lebih adil dapat diambil.
“Kita bukan nak melakukan pendakwaan sewenang-wenangnya, sebaliknya mahu mencari jalan pencegahan yang lebih berkesan.
“Jika undang-undang membenarkan tindakan boleh dikenakan ke atas kedua-dua pihak, kes-kes seperti ini dapat dibendung,” jelasnya.
Beliau berkata, kesalahan hubungan seks bawah umur kini biasanya disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala kanak-kanak perempuan lazimnya dilindungi sebagai mangsa.
Mohd Yusoff menegaskan, cadangan itu bagi memastikan mesej jelas sampai kepada remaja agar tidak mudah terjebak dalam perbuatan terlarang.