Dua sahabat maut, motosikal terbabas bertembung MPV

Iklan
Hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian kedua-dua pelajar Tingkatan Tiga itu menaiki motosikal dari arah Tumpat ke Kota Bharu.

TUMPAT - Dua sahabat maut selepas motosikal jenis Yamaha Ego SI yang dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora di Wakaf King di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, Muhammad Hakif Dani Muhammad Nakman, 15, meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala rakannya, Mohamad Ikram Pakarudin Yusri, 15, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tumpat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian kedua-dua pelajar Tingkatan Tiga itu menaiki motosikal dari arah Tumpat ke Kota Bharu.

"Setibanya di hadapan Stesen Minyak Petron Wakaf King motosikal yang dinaiki dua sahabat ini dikatakan terlanggar pada bahagian belakang sebuah motosikal lain yang ingin membelok ke kanan untuk masuk ke stesen minyak berkenaan.

Iklan

"Akibat pelanggaran itu motosikal yang dinaiki mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah MPV," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, mangsa yang merupakan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Iklan

Dua sahabat maut selepas motosikal jenis Yamaha Ego SI yang dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora di Wakaf King, Tumpat pada Jumaat.Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Ujarnya, manakala mangsa kedua iaitu pembonceng motosikal dikejarkan ke Hospital Tumpat dan disahkan meninggal dunia semasa sedang dirawat di wad kecemasan.

Mohd Khairi memberitahu, bagaimanapun penunggang motosikal kedua bertindak meninggalkan lokasi kemalangan dan pihak polis kini sedang giat mengesan individu terbabit bagi membantu siasatan.

"Siasatan berkaitan kemalangan ini dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat kemalangan ini diminta tampil hadir untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat atau boleh menghubungi talian 09 - 7257222," katanya.