KPDN sita 11,500 liter diesel, lori tangki

Iklan
KPDN Perak menyita 11,500 liter minyak diesel bersama lori tangki dalam serbuan Ops Tiris 2025 di Jalan Changkat Jong pada Jumaat.

TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 11,500 liter diesel bersama sebuah lori tangki dalam serbuan Ops Tiris 2025 di sebuah tapak pembinaan di Jalan Changkat Jong di sini pada Jumaat.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa pada jam 2.40 petang itu adalah hasil risikan dan pemantauan selama seminggu terhadap aktiviti penyelewengan serta ketirisan barang kawalan di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika serbuan, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang mengaku sebagai penyelia tapak gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan ketika diminta oleh pasukan penguat kuasa.

“Pemeriksaan lanjut ke atas tapak pembinaan tersebut mendapati pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 11,500 liter cecair disyaki minyak diesel di dalam sebuah skid tank.

Iklan

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 11,500 liter, sebuah lori, dan sebuah skid tank dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM140,200,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa hasil risikan dan pemantauan seminggu terhadap aktiviti penyelewengan serta ketirisan barang kawalan di kawasan berkenaan.

Iklan

Kamalludin berkata, siasatan turut dijalankan terhadap sebuah syarikat pembekal yang beroperasi di Lembah Klang kerana disyaki gagal memastikan pihak pembeli mempunyai kebenaran atau lesen barang kawalan sebelum menjalankan transaksi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika melibatkan individu.

Katanya, bagi kesalahan dilakukan pertubuhan atau badan korporat, denda boleh mencecah RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan kedua.

Sementara itu, KPDN menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi dan tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah akan diambil.

Katanya, masyarakat juga digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-8488000, portal e-aduan@kpdn.gov.my