BAPA kepada penyanyi popular, Khai Bahar iaitu Baharuddin Bakri dilaporkan meninggal dunia malam tadi.
Berita duka itu dimaklumkan pengurus Khai, Rizal atau lebih dikenali sebagai Jai, menerusi hantaran di Instagram Story yang menzahirkan ucapan takziah serta doa buat arwah.
Iklan
Iklan
“Takziah buat Khai Bahar dan keluarga atas pemergian ayahanda tercinta. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.
Sekitar jam 6 pagi tadi, Khai atau nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 31, memaklumkan bahawa jenazah arwah bapanya akan dikebumikan selepas solat Zohor hari ini di Tanah Perkuburan Tok Paduka, Kangar, Perlis.
Kenyataan tersebut dimuat naik penyanyi kelahiran Perlis itu di akaun Instagram peribadinya.
Bagaimanapun, Khai tidak berkongsi maklumat lanjut mengenai punca kematian.
Untuk rekod, pada 2 Januari 2024, Khai kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Rosnah Muhammad, yang meninggal dunia di Kangar, Perlis. - Awani