Planet mirip Bumi mungkin dapat dihuni, ahli astronomi hampir temui jawapan

Iklan
TRAPPIST-1e dipercayai berpotensi memiliki atmosfera yang mampu mengekalkan air dalam bentuk cecair. -Agensi

LONDON – Ahli astronomi percaya mereka semakin hampir mengesahkan kewujudan atmosfera pada sebuah planet bersaiz Bumi yang berpotensi dihuni, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pencarian kehidupan di luar sistem berkenaan.

Planet berkenaan, TRAPPIST-1e, terletak kira-kira 40 tahun cahaya dari Bumi dan merupakan salah satu daripada tujuh planet berbatu yang mengelilingi bintang kecil dalam sistem TRAPPIST-1.

Iklan
Iklan

Sekurang-kurangnya tiga planet dalam sistem itu berada di zon boleh dihuni iaitu kawasan di mana kewujudan air dalam bentuk cecair adalah berpotensi sekiranya wujud atmosfera.

Kajian terbaharu yang diterbitkan dalam The Astrophysical Journal Letters mendapati pemerhatian awal menggunakan Teleskop Angkasa James Webb (JWST) tidak menolak kemungkinan wujudnya atmosfera pada TRAPPIST-1e.

Iklan

“Berdasarkan empat pemerhatian awal, kita masih tidak boleh menolak kehadiran atmosfera. Itu bermakna harapan masih ada,” kata Néstor Espinoza, ahli astronomi di Space Telescope Science Institute, sambil mendedahkan 15 lagi pemerhatian sedang dijalankan dan dijangka selesai hujung tahun ini.

Setakat ini, JWST hanya berjaya menolak kemungkinan atmosfera pada TRAPPIST-1b, planet paling hampir dengan bintang induknya.

Iklan

Bagaimanapun, TRAPPIST-1e kekal sebagai calon terbaik untuk menampung air di permukaan.

Hasil awal turut menolak senario bahawa planet itu mempunyai atmosfera seperti Zuhrah atau Marikh yang kaya dengan karbon dioksida.

Sebaliknya, saintis percaya ia berpotensi memiliki atmosfera berasaskan nitrogen, seakan Bumi atau bulan Titan milik Zuhal.

Profesor Sara Seager dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) menyifatkan TRAPPIST-1e sebagai “salah satu planet zon boleh dihuni paling menarik setakat ini” dan kajian terbaharu membawa penyelidik selangkah lebih dekat untuk memahami jenis dunia yang ia wakili.

Jika atmosfera disahkan, ia bakal menjadi pencapaian bersejarah kerana akan membuktikan bahawa bintang kerdil merah yang merupakan jenis bintang paling banyak di alam semesta mampu menampung atmosfera.

Namun, jika tiada atmosfera ditemui, pakar berpendapat penemuan itu tetap signifikan kerana akan mengangkat keunikan Bumi serta membuka ruang kepada kajian lebih lanjut terhadap planet yang mengelilingi bintang mirip matahari.

“Buat pertama kali dalam sejarah, kita benar-benar berada dalam jangkauan untuk menemui atmosfera pada sebuah planet berbatu yang berpotensi boleh dihuni,” kata Michaël Gillon, ahli astrobiologi dari Universiti Liège, Belgium yang mengetuai penemuan asal sistem TRAPPIST-1 pada 2016.-Agensi