Belanjawan 2026: NUTP kemuka 12 cadangan perkukuh sistem pendidikan

Iklan
Fadhlina bergambar bersama penerima selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) pelajar Tingkatan Enam peringkat negeri Kelantan di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan pada Ahad. Gambar kecil: Fouzi Singon

SHAH ALAM – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengemukakan 12 cadangan utama kepada kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 bagi memperkukuh sistem pendidikan negara serta kebajikan guru dan pelajar.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, belanjawan kali ini perlu memberi tumpuan kepada isu sebenar di sekolah termasuk pembangunan prasekolah, kebajikan murid, penyelenggaraan infrastruktur serta penambahbaikan elaun guru di kawasan pedalaman.

Iklan
Iklan

"Belanjawan pendidikan bukan sekadar perbelanjaan operasi tetapi pelaburan untuk masa depan negara.

"Dengan menangani cabaran pelajar dan guru khususnya di kawasan luar bandar, kita mampu mara ke arah sistem pendidikan yang lebih saksama dan berkualiti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, cadangan pertama ialah penambahan peruntukan bagi membangunkan prasekolah baharu, menaik taraf kemudahan sedia ada serta menempatkan guru terlatih di kawasan yang masih kekurangan.

Fouzi berkata, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) juga perlu diteruskan dan jumlahnya wajar ditingkatkan kerana sesi persekolahan 2026 bertindih dengan sambutan bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri yang memberi tekanan kewangan tambahan kepada keluarga.

Iklan

"Sekolah juga memerlukan dana mencukupi untuk menganjurkan program kokurikulum dan sukan.

"Aktiviti ini penting bukan sahaja untuk membina sahsiah, tetapi juga menyokong kesihatan mental pelajar," katanya.

Fouzi berkata, kadar perkapita (PCG) semasa bagi mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Mata Pelajaran Vokasional (MPV) wajar disemak kerana kos bahan semakin tinggi dan tidak sepadan dengan kadar sekarang.

Katanya, dengan pengenalan kurikulum baharu pada 2027, guru mesti diberi latihan berstruktur dan berterusan agar mereka benar-benar bersedia menghadapi perubahan.

“Guru yang mengetuai unit beruniform seperti Pengakap, Kadet dan Bulan Sabit Merah juga wajar diberi elaun pakaian seragam sekali sahaja supaya mereka boleh berpakaian lengkap dan profesional,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan kenaikan harga makanan, peruntukan untuk murid prasekolah perlu ditingkatkan bagi memastikan mereka mendapat makanan berkhasiat dan mencukupi sepanjang sesi persekolahan.

Menurutnya, penyelenggaraan bilik guru dan kantin sekolah perlu diberi perhatian dengan peruntukan khusus kerana banyak kemudahan kini usang dan tidak selesa.

"Sekolah yang tidak mempunyai dewan serba guna juga perlu diberi keutamaan untuk pembinaan sekurang-kurangnya dewan terbuka bagi melancarkan aktiviti rasmi dan fizikal," katanya.

Fouzi berkata, cadangan lain termasuk menyediakan dana operasi tahunan sekolah bagi membolehkan pembaikan kecil dilakukan tanpa menunggu kelulusan pusat, selain menambah baik kuarters guru yang usang di pedalaman.

“Elaun sukar bagi guru di zon pedalaman (P3) juga perlu disemak dan dinaikkan bagi menjamin kebajikan mereka serta meningkatkan daya tarikan kerjaya di kawasan mencabar itu,” katanya.