Gelap mata dapat untung 600 peratus, juruteknik rugi RM263,430

Iklan
Gambar hiasan.

KUANTAN- Terpedaya janji pulangan lumayan sehingga 600 peratus, seorang juruteknik kerugian RM263,430 apabila menjadi mangsa tawaran pelaburan dalam talian tidak wujud itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 45 tahun melayari Facebook 21 Jun lalu dan tahun tertarik dengan tawaran keuntungan lumayan melalui skim pelaburan yang diiklankan melalui platform itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa dihubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan yang menjanjikan keuntungan sehingga 600 peratus.

"Dalam tempoh 3 Ogos hingga 17 September lalu, mangsa telah membuat 12 transaksi bayaran pelaburan melalui dua akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM263,430.

Iklan

"Mangsa menyedari ditipu apabila bukan sahaja gagal mendapatkan kembali wang pelaburan dan keuntungan dijanjikan malah suspek terus memintanya membuat bayaran tambahan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Yahaya berkata, mangsa mendakwa menggunakan wang simpanan untuk menyertai pelaburan tidak wujud itu.

Iklan

Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang dijanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

"Sekiranya menerima tawaran mana-mana skim pelaburan dalam talian, buat semakan atau

mendapatkan maklumat dari agensi berkaitan termasuk polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai langkah pencegahan mengelak menjadi mangsa pelaburan yang tidak wujud.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Beliau juga menyeru orang ramai yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.