Ab Rauf dapat injunksi halang bekas Timbalan Dewan Negara buat kenyataan fitnah

Iklan
Mohamad Ali (kiri) bersama peguamnya Rafique Rashid ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Melaka pada Khamis.

MELAKA – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendapat injunksi secara dua belah pihak terhadap bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Pesuruhjaya Kehakiman, Isa Aziz Ibrahim membenarkan injunksi itu bagi menghalang Mohamad Ali daripada terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pengerusi BN Melaka tersebut.

Iklan
Iklan

Dalam penghakimannya, beliau berkata, antara alasan ringkas membenarkan permohonan secara inter-parte adalah berdasarkan fakta keseimbangan yang memihak kepada plaintif sebagai Ketua Menteri yang terpaksa berdepan dakwaan belum ditentusahkan.

Malah menurutnya, tuntutan plaintif tidak remeh dan tidak menyusahkan, selain dalam perkara ini, ganti rugi adalah tidak memadai kerana ia merupakan isu serius untuk dibicarakan.

Iklan

Peguam mewakili Ab Rauf, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, injunksi itu dibenarkan sebagai lanjutan daripada injunksi ex-parte yang diperoleh sebelum ini bagi membolehkan semua hantaran berniat jahat yang dibuat oleh pihak defendan diturunkan.

Berdasarkan notis permohonan, defendan dikehendaki memadam semua kenyataan, video, gambar serta sebarang penyiaran yang dirujuk secara kolektif sebagai"Penerbitan Fitnah" yang disiarkan di akaun TikTok bawah nama @cikguali71.

Iklan

Sementara itu, peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Mohamad Ali berkata, anak guamnya bersedia memberi keterangan pada perbicaraan nanti.

Malah, pihaknya turut yakin saksi-saksi terlibat juga akan membuktikan bahawa tiada sebarang fitnah dilakukan oleh anak guamnya itu.

"Kita biarkan mahkamah buat keputusan tetapi semuanya akan terungkai, saya percaya pada masa perbicaraan Februari ini," katanya.

Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan 23 hingga 26 Februari 2026 sebagai tarikh perbicaraan kes saman berkenaan.