JPJ keluar 1,672 saman operasi khas gempur kenderaan perdagangan

Iklan
JPJ menjalankan operasi di Plaza Tol Sungai Besi pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR. Gambar kecil : Hamidi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,672 saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam tempoh 17 hari pelaksanaan operasi khas gempur kenderaan perdagangan yang bermula sejak 1 September lalu.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 8,225 kenderaan telah diperiksa, melibatkan 3,389 kenderaan barangan dan 4,836 kenderaan perkhidmatan awam.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah tersebut, 575 kenderaan dikenakan tindakan, manakala lapan daripadanya disita kerana melakukan kesalahan serius dan berulang," katanya dalam sidang akhbar di Plaza Tol Sungai Besi, di sini pada Khamis.

Hamidi menjelaskan bahawa operasi yang akan berlangsung sehingga 31 Disember ini memberi tumpuan kepada kesalahan utama seperti memandu berterusan di lorong kanan, memotong di garisan berkembar, lesen dan insurans tamat tempoh, serta ketidakpatuhan terhadap spesifikasi pembinaan dan penggunaan kenderaan.

Iklan

"Kesemua kesalahan itu melanggar peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), serta kaedah-kaedah berkaitan yang sedang berkuat kuasa.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan susulan peningkatan insiden kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan yang berpunca daripada kegagalan mematuhi spesifikasi teknikal, penyelenggaraan lemah serta sikap pemandu yang cuai," katanya.

Iklan

Beliau menegaskan bahawa JPJ tidak akan berkompromi terhadap pemilik dan pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya.

"Mereka yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan tegas, termasuk saman serta penyitaan kenderaan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan advokasi dan pendidikan turut diterapkan sepanjang operasi melalui sesi penerangan kepada pemandu serta pemilik kenderaan yang diperiksa.

"Langkah penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan maut, dan memperkukuh integriti sistem pengangkutan awam dan barangan," ujarnya.