SEREMBAN - Cadangan menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga dikuatiri boleh menjejaskan kehadiran pelancong di kawasan peranginan itu yang sememangnya sudah dikenali ramai.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, penjenamaan semula nama itu juga akan melibatkan kos yang tinggi dan boleh menganggu aktiviti promosi yang sedang berjalan.
"Kata kunci nama Port Dickson itu sudah meluas di enjin carian internet, malah pelancong luar pun sudah kenal dengan nama tersebut.
"Dari sudut pelancongan, jika namanya ditukar kepada nama lain, saya rasa ia sedikit sebanyak akan menjejaskan sektor pelancongan di kawasan Port Dickson dan disebabkan itu saya kurang setuju jika namanya ditukar kepada nama lain," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelasnya lagi, sekiranya jenama Port Dickson itu telah ditukar, agak sukar untuk pelancong terutamanya dari luar negara mencarinya di internet.
Tambahnya, ia secara tidak langsung juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan memberi kesan jangka panjang.
"Saya mengulas dari sudut pelancongan dan saya setuju dengan pandangan Menteri Besar yang mengatakan bahawa kita harus bersikap terbuka terhadap nama Port Dickson yang sudah dikenali ramai," katanya.
Nicole juga berkata, masa untuk membawa cadangan itu juga tidak sesuai memandangkan tahun 2026 merupakan Tahun Melawat Negeri Sembilan dan destinasi pelancongan utama yang menjadi tumpuan adalah Port Dickson.
Sementara itu ditanya berkenaan kehadiran pelancong ke kawasan terbabit sempena cuti tambahan 15 September, beliau berkata ia amat menggalakkan apabila berlaku kesesakan luar biasa ke sana.
"Dilaporkan, Port Dickson mencatatkan lonjakan tertinggi carian penginapan di platform pelancongan digital, Agoda dengan peningkatan carian 373 peratus.
"Jadi tidak hairan apabila jalan ke Port Dickson alami kesesakan dan bagi saya ia satu petanda positif, malah turut berlaku di kawasan tumpuan pelancong lain," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun membidas beberapa NGO yang didakwa berusaha menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga bagi menyahkan identiti peninggalan penjajah Inggeris.
Beliau dilaporkan berkata, pihak berkenaan seharusnya bersikap terbuka terhadap nama Port Dickson yang mempunyai identiti tersendiri dan sudah dikenali ramai.