POLEMIK perebutan calon Perdana Menteri yang berlaku dalam kalangan parti-parti politik, khususnya di blok pembangkang, sebenarnya menimbulkan dua kesan utama terhadap persepsi masyarakat.
Pertama, ia memperlihatkan seolah-olah kepentingan jawatan lebih diutamakan berbanding usaha menyatukan parti dan mengangkat agenda rakyat.
Hal ini boleh menimbulkan rasa muak dalam kalangan pengundi yang sudah lama mendambakan politik matang, bersih daripada perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
Kedua, keadaan ini turut menimbulkan keraguan mengenai kesediaan parti-parti berkenaan untuk benar-benar membentuk kerajaan yang stabil, memandangkan isu calon Perdana Menteri pun masih gagal diputuskan secara tuntas.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga beliau tampil memberi teguran menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mengingatkan supaya keutamaan diberikan pada usaha menyatupadukan bangsa Melayu berbanding berebut untuk jawatan calon Perdana Menteri.
Kenyataan Dr Mahathir Mohamad membawa mesej jelas bahawa strategi politik perlu kembali berlandaskan realiti pilihan raya.
Sekiranya sesebuah parti tidak mencapai sekurang-kurangnya 112 kerusi, apa jua perbincangan mengenai calon Perdana Menteri hanyalah retorik yang tidak membawa nilai praktikal.
Dengan baki kira-kira dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), adalah lebih baik sekiranya memberi tumpuan terhadap dua perkara utama iaitu menjadi pembangkang yang proaktif dan memperkukuhkan keyakinan pengundi.
Sebagai pembangkang, keutamaan harus diberikan kepada fungsi semak dan imbang yang berkesan terhadap dasar serta polisi kerajaan.
Rakyat menilai melalui tindakan dan cadangan konstruktif, bukannya slogan politik semata-mata.
Apabila pembangkang tampil dengan idea bernas berkaitan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan, barulah pengundi melihat mereka sebagai pilihan yang layak untuk mengambil alih pentadbiran.
Dalam masa sama, parti-parti juga perlu memperkukuhkan keyakinan pengundi dengan membina naratif yang jelas, konsisten dan tidak berbelah bahagi.
Politik berasaskan perpecahan dalaman dan perebutan kuasa hanya akan memberi gambaran bahawa mereka belum bersedia untuk mentadbir negara secara stabil.
Sebaliknya, imej pembangkang yang berdisiplin, bersatu padu serta konsisten membela isu rakyat akan menjadi faktor penentu sokongan dalam pilihan raya akan datang.
Akhirnya, politik matang bukan diukur daripada siapa yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri lebih awal, tetapi daripada sejauh mana sesebuah parti mampu membina kepercayaan rakyat melalui tindakan, dasar dan kesungguhan memperjuangkan kepentingan mereka.
Jika fokus ini dapat dikekalkan, barulah pengundi melihat blok pembangkang sebagai alternatif yang benar-benar meyakinkan pada PRU16.