Tanah runtuh di IPG Gaya: Bangunan kuarters diarah kosong serta-merta

Iklan
Insiden tanah runtuh telah menyebabkan kerosakan pada cerun dan beberapa blok bangunan. Foto media sosial

SHAH ALAM – Bangunan kuarters Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Sabah, diarahkan dikosongkan serta-merta susulan kejadian tanah runtuh yang melanda kawasan tersebut.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, beberapa langkah segera turut diambil termasuk merobohkan blok bangunan terjejas untuk memberi laluan kepada pembinaan semula, menyewa premis berdekatan bagi memastikan kelangsungan aktiviti akademik serta membina semula tangki air yang rosak akibat kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut KPM, insiden tanah runtuh tersebut telah menyebabkan kerosakan pada cerun dan beberapa blok bangunan, yang sebenarnya telah pun ditutup dan tidak didiami sejak Julai lalu atas arahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

"KPM mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dan langkah proaktif sedang dilaksanakan bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan seluruh warga IPG Kampus Gaya,” kata kenyataan itu.

Iklan

Dalam masa sama, KPM turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas keprihatinan dan lawatan beliau ke kampus berkenaan bagi meninjau keadaan semasa.

Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menjadi mangsa terakhir tragedi tanah runtuh dan banjir buruk yang melanda Sabah sejak 12 September lalu, menjadikan jumlah korban setakat ini kepada 14 orang.

Iklan

Mangsa, Kemiey Asphereynda Benny, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas 18 jam operasi pencarian iaitu pada jam 8.45 malam, 15 September sebelum berjaya dikeluarkan pada jam 1.48 pagi, 16 September.