Zara Qairina menangis, bersumpah ‘wallahi’ nafi mencuri - Saksi

Iklan
Peguam keluarga Zara Qairina menyeru saksi tampil membantu siasatan dan inkues.

KOTA KINABALU – Saksi kelapan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pelajar tersebut dilihat menangis serta menafikan tuduhan mencuri sebelum menuju ke tandas buat kali terakhir.

Saksi berkenaan, Azhari Abd Sagap, 31, yang juga Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, berkata, beliau menerima salinan pengakuan bertulis daripada lima pelajar berhubung insiden tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut Azhari, dokumen itu ditulis selepas beliau mengarahkan warden lain menjalankan siasatan dalaman pada 16 Julai lalu, sebaik Zara Qairina dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Pada malam sebelum kejadian, seorang pelajar tingkatan satu membuat aduan kepada ketua dorm bahawa barang miliknya hilang.

Iklan

“Zara kemudian dipanggil dan ditanya mengenai perkara itu. Dia menafikan tuduhan serta bersumpah dengan lafaz ‘wallahi’,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Azhari menambah, sebelum itu pelajar-pelajar lain turut menyelongkar beg serta lokar milik Zara Qairina dan mendakwa menemui pin Jalur Gemilang kepunyaan ketua dorm.

Iklan

Namun, jelasnya, Zara sekali lagi menegaskan dia tidak mengambil barang tersebut.

“Zara dikatakan meninggalkan bilik sambil menangis dan menjerit: ‘Aku tidak mencuri bah, bodoh’. Perkara ini dimaklumkan kepada saya oleh seorang pelajar tingkatan satu.

“Kali terakhir dia dilihat ialah ketika keluar dari bilik berkenaan menuju ke tandas dalam keadaan menangis,” katanya.