TEMERLOH - Polis giat memburu dalang utama Geng Musang bersama tiga lagi suspek curi kabel projek di Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Temerloh, Bentong dan Kuantan membabitkan kerugian RM825,000 yang masih bebas.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalang utama yang juga lelaki warga Kemboja bersama seorang lagi dari negara sama dan warga tempatan geng berkenaan diburu membabitkan satu kes kecurian di Bentong dan tiga kes di Temerloh bermula bulan lepas dan September.
Menurutnya, setakat ini tujuh tangkapan telah dilakukan membabitkan Geng Musang.
"Satu lagi kumpulan dikenali 'Geng Jep Gambang' mencatatkan satu tangkapan melibatkan ketua geng manakala seorang lagi suspek masih bebas dan terlibat dalam dua kes di Kuantan.
"Daripada lapan suspek yang ditangkap antara 10 hingga 14 September lalu, enam daripadanya terlibat secara langsung mencuri kabel manakala dua lagi adalah pembeli," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Balai Polis Lanchang di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd Yusri Othman dan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan.
Jelasnya, kesemua suspek berumur antara 29 hingga 45 tahun yang mana tujuh daripadanya mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
"Ujian air kencing ke atas semua tangkapan telah dibuat dan lima suspek didapati positif dadah methamphetamine," ujarnya lagi.
Susulan itu katanya, JSJ Pahang telah menubuhkan satu pasukan khas dan berjaya membuat tangkapan dalam beberapa serbuan di daerah ini, Kuantan dan Bentong.
"Pasukan tersebut juga berjaya membuat rampasan kabel yang dicuri di sebuah premis di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan dua premis di Temerloh.
"Dalam beberapa siri serbuan dan tangkapan yang dilakukan, pihak polis berjaya membuat rampasan bernilai RM100,000 melibatkan lori, kereta, kabel dan alat pemotong besi," katanya.
Ditanya modus operandi, beliau memberitahu, dalam kes tersebut kedudukan kabel kebanyakannya dalam tiang yang mudah dipotong dan dilakukan di lokasi terpencil.
Dalam pada itu, Yahaya memberitahu kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 431A KK dan Seksyen 411 KK.
"Kita minta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat dan menghubungi balai polis berhampiran jika mengetahui atau mengesan suspek yang masih bebas.
"Kita juga telah menasihati pihak ECRL agar meningkatkan kawalan keselamatan untuk mengelakkan kes kecurian kabel di laluan terlibat," jelasnya kecurian kabel membabitkan kira-kira lima kilometer dengan anggaran berat hampir satu tan.
Laluan ECRL di Pahang sepanjang 258 kilometer membabitkan tujuh stesen iaitu Bentong; Temerloh; Maran; Paya Besar; Kota SAS; Pelabuhan Kuantan dan Cerating.