Calon SPM positif dadah selepas pulang bercuti dari Thailand

Iklan
Antara suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Foto: Ihsan AADK

BUKIT KAYU HITAM – Seorang pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepas didapati positif dadah jenis ketamin ketika pulang bercuti dari Thailand pada Selasa.

Remaja lelaki berusia 17 tahun itu ditahan bersama tiga rakannya yang berusia 18 tahun ketika menunggang dua motosikal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini pada jam 3.45 petang.

Iklan
Iklan

Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, hasil ujian saringan awal mendapati kesemua mereka positif dadah jenis ketamin dipercayai diambil ketika berhibur di negara jiran.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit berkongsi rokok yang dicampur bahan terlarang bersama rakan-rakannya ketika berada di Thailand. Dia mengaku mengambil dadah itu atas dorongan tekanan hidup dan rasa ingin tahu,” katanya pada Rabu.

Iklan

Menurut Khairul Anwar, remaja berkenaan merupakan anak tunggal yang tinggal bersama datuk dan neneknya di Pulau Pinang selepas ibu bapanya bercerai ketika dia berusia sembilan tahun.

“Dia turut mengaku ini merupakan kali kedua dia mencuba dadah jenis sama selepas kali pertama ke Thailand sebelum ini,” ujarnya.

Iklan

Tambah beliau, dalam operasi bersepadu itu, AADK menahan enam individu berusia antara 17 hingga 19 tahun kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Katanya lagi, AADK akan terus mempergiatkan operasi di pintu masuk sempadan negara bagi membendung aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja.