PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) digesa memberi tumpuan segera kepada penyediaan kerangka kawal selia bagi sektor ekonomi altitud rendah termasuk dron dan mobiliti udara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, teknologi baharu itu berkembang pesat dan mampu memacu ekonomi negara sekiranya wujud garis panduan operasi yang jelas serta menyeluruh.
“Kita bercakap tentang ekonomi attitud rendah iaitu penggunaan dron bukan sahaja untuk rakaman video atau fotografi, tetapi juga penghantaran kargo, misi penyelamatan dan kini wujud konsep teksi udara. Ini satu bidang baharu yang perlu kita terokai.
“Namun untuk membolehkannya berkembang, CAAM perlu menyediakan ruang operasi, lokasi berlepas dan mendarat yang sesuai serta kawal selia yang fleksibel tetapi tetap menjaga aspek keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar sempena pelancaran identiti korporat baharu CAAM di sini pada Rabu.
Ekonomi altitud rendah merujuk kepada aktiviti ekonomi yang menggunakan ruang udara di bawah ketinggian tertentu, biasanya sekitar 1,000 meter untuk pelbagai aplikasi seperti penggunaan teksi terbang, penghantaran pakej menggunakan dron, pertunjukan cahaya dron dan perkhidmatan kecemasan pantas selaras dengan perkembangan teknologi kenderaan elektrik dengan keupayaan mendarat dan berlepas secara menegak (eVTOL).
Anthony menegaskan, keseimbangan antara kawal selia dan kebebasan industri perlu diutamakan agar inovasi tidak terhalang tetapi keselamatan tetap terjamin.
“Prinsip kita jelas, jangan sampai ‘over-regulate’ sehingga menyukarkan pemain industri untuk memasuki pasaran," katanya.
Menurut beliau, pada masa sama, keselamatan penumpang dan ruang udara tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Kerangka kawal selia yang jelas amat penting supaya industri ini boleh take off dan menjadi sebahagian daripada agenda kerajaan termasuk pembangunan bandar pintar,” ujarnya.
Menurutnya, CAAM perlu sentiasa memahami keadaan semasa dan mendahului perkembangan teknologi agar Malaysia tidak ketinggalan dalam revolusi industri penerbangan baharu itu.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) memberikan sokongan penuh kepada CAAM untuk melaksanakan tanggungjawab ini dan memastikan sektor penerbangan negara kekal kompetitif,” katanya
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Anthony berkata, penggabungan CAAM dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjadikan pihak berkuasa itu sebagai regulator tunggal sektor penerbangan negara.
Jelas beliau, langkah itu membolehkan semua dasar dan kawal selia industri penerbangan diselaraskan di bawah satu entiti bagi memastikan sistem lebih tersusun serta berkesan.
“Ini adalah satu penanda aras atau pemulaan baharu untuk CAAM.
"Dengan struktur baharu ini, kerajaan berharap CAAM menjadi pihak berkuasa yang efisien, moden dan berdaya saing, sekali gus mampu memacu pertumbuhan sektor penerbangan dengan lebih baik,” jelasnya.
Beliau menambah, pengenalan identiti korporat baharu CAAM mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh peranan pihak berkuasa itu agar setanding dengan badan penerbangan antarabangsa.
Anthony turut menekankan keperluan menyemak semula peraturan sedia ada supaya lebih selari dengan keperluan semasa dan perkembangan industri.
“Banyak peraturan yang perlu dikaji semula dan dipermudahkan tanpa menjejaskan aspek keselamatan. Contohnya, lesen-lesen penerbangan kini boleh diperbaharui secara digital tanpa perlu hadir secara fizikal,” katanya.