WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan sekumpulan syarikat gergasi AS mencapai persetujuan untuk membeli aplikasi TikTok.
Ia sekali gus menandakan kejayaan besar dalam rundingan yang berlarutan hampir setahun.
Trump berkata, perjanjian itu bakal memastikan aplikasi berkenaan terus beroperasi dengan pemilikan berpindah daripada syarikat induknya di China, ByteDance, kepada entiti baharu yang dikawal oleh pelabur AS.
“Kami sudah mempunyai perjanjian untuk TikTok, sekumpulan syarikat besar mahu membelinya,” katanya dalam sidang media di Rumah Putih.
Pengumuman itu dibuat menjelang tarikh akhir, 17 September yang ditetapkan kerajaan untuk ByteDance menjual atau menutup operasi TikTok di AS.
Namun, Rumah Putih melanjutkan tarikh akhir itu hingga 16 Disember bagi memberi masa tambahan memuktamadkan urusan pelupusan.
Menurut laporan Wall Street Journal, entiti baharu itu akan dikawal oleh lembaga pengarah yang didominasi rakyat AS termasuk seorang ahli yang dilantik kerajaan.
TikTok yang mempunyai 170 juta pengguna di AS sebelum ini dianggap berisiko kepada keselamatan negara kerana data pengguna berpotensi diakses pemerintah China.
Atas kebimbangan itu, Kongres meluluskan undang-undang pada 2024 yang mewajibkan pelupusan aplikasi tersebut.
Trump bagaimanapun menolak gesaan untuk menutup aplikasi berkenaan secara drastik kerana bimbang menimbulkan kemarahan pengguna.
Beliau malah mengakui platform itu telah membantunya meraih sokongan dalam Pilihan Raya Presiden lalu, dengan akaun peribadinya mempunyai 15 juta pengikut.