MERAK Jalanan tidak pasti sama ada perbuatan menghantar ugutan video lucah terhadap beberapa ahli Parlimen merupakan perbuatan nakal atau ia benar-benar berlaku.
Tetapi kalau sudah ramai yang menerima ugutan serupa, sudah pasti ia hanyalah satu percubaan bodoh pelaku yang mungkin mencuba nasib andai salah seorang daripada mangsa benar-benar percaya dan terpedaya.
Teringat suatu ketika dahulu muncul surat berantai yang dihantar menerusi e-mel dan sekiranya penerima tidak menyebarkan surat itu, mereka mungkin akan mati.
Tetapi malangnya ada yang percaya dan menghantar e-mel tersebut kepada kawan-kawan yang lain, dengan harapan mereka tidak ditimpa nasib malang.
Bezanya kini, ugutan tidak lagi berbentuk mistik atau sumpahan, sebaliknya disalurkan dalam bentuk teknologi moden yang jauh lebih licik.
Menerima surat berantai yang mengancam nyawa dan video lucah palsu, kedua-duanya sama tidak kelakar, kalau pihak yang hantar cuba nak bergurau kasar.
Merak Jalanan harap pihak polis boleh jejak orang yang hantar e-mel yang jahat ini. Kita pun hendak tahu apa niat sebenar dia buat begitu.
Kalau nak menjatuhkan reputasi seseorang terutama ahli politik, Merak Jalanan merasakan ini adalah perbuatan yang paling memualkan.
Dalam politik, perbuatan pembunuhan karakter memang sudah sekian lama jadi senjata pihak lawan untuk menjatuhkan satu sama lain. Nasihat Merak Jalanan berpolitiklah dengan cara matang.
Cuma Merak Jalanan pun risau juga kalau ada orang yang mula dapat idea melakukan hal serupa kepada orang lain dan bukan ahli politik. Ini tidak mustahil berlaku.
Kita pun bimbang kalau ada mangsa yang terperangkap dan mengalami kerugian. Semoga kita dilindungi dan dijauhkanlah dengan perkara-perkara seperti ini.