KOTA BHARU - Lebih 3,000 pesawah meluahkan kebimbangan hasil padi yang diusahakan mereka dijangka susut 80 peratus semasa proses menuai bulan depan susulan bekalan air tidak mencukupi.
Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak), Zuha Ismail berkata, situasi itu memberi kesan kepada proses menabur benih yang bermula Jun dan Julai lalu.
"Bekalan air sangat penting apabila proses menabur dilakukan. Apa yang menyedihkan, bekalan air dari rumah pam Kemubu tidak dapat dibekalkan ke sawah dalam tempoh tertentu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut beliau, situasi itu menyebabkan rumput mulai tumbuh segar di kawasan sawah berbanding padi.
Ujarnya, antara kawasan yang terjejas ialah Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Bachok, Tumpat dan sebahagian di Pasir Mas.
Zuha memberitahu, sudah empat musim berturut-turut pesawah menanggung kerugian untuk tahun ini.
"Jika masalah air masih tidak dapat diselesaikan berkemungkinan besar pesawah tidak akan menanam padi untuk musim depan melainkan isu air sudah ditangani KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu).
"Situasi sawah kami sekarang bukan tanam padi, tapi seperti tanam rumput kerana rumput lebih banyak berbanding padi," katanya.