Sultan Selangor, Tengku Permaisuri zahir ucapan Hari Malaysia

Iklan
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Malaysia 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia. Gambar Selangor Royal Office

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Malaysia 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Selangor Royal Office, baginda berdua menzahirkan doa serta harapan agar rakyat terus hidup dalam suasana aman, damai dan harmoni walaupun berbeza latar belakang kaum, agama serta budaya.

Iklan
Iklan

Baginda bertitah, semangat perpaduan yang terbina sejak sekian lama menjadi teras kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara, selain asas penting yang harus dipelihara oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Baginda mendoakan agar semangat perpaduan, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat di semua negeri dalam Malaysia ini akan berterusan dan sentiasa berada dalam rahmat Allah Subhanahu Wata’ala,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Iklan

Titah baginda, Hari Malaysia bukan sahaja memperingati sejarah penyatuan negara tetapi juga simbol kekuatan dan kesungguhan rakyat untuk membina Malaysia yang lebih maju dan berjaya.

“Selamat Hari Malaysia, Malaysia!” titah baginda.

Iklan

Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun merupakan hari bersejarah apabila Malaysia secara rasmi dibentuk pada tahun 1963 dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura bersama Persekutuan Tanah Melayu.