Keamanan harta paling berharga

Iklan
Malaysia mampu berdiri teguh sebagai sebuah negara berdaulat kerana kekuatan kita terletak kepada kerangka utama perpaduan yang utuh. - Gambar hiasan

Hari ini kita menyambut ulang tahun Hari Malaysia ke-62. Sudah tentu ia memberikan satu tiupan semangat kepada seluruh rakyat negara ini untuk terus mempertahankan keamanan, kedaulatan dan bergerak ke depan menuju negara maju.

Malaysia mampu berdiri teguh sebagai sebuah negara berdaulat kerana kekuatan kita terletak kepada kerangka utama perpaduan yang utuh, tidak mampu diganggu gugat sesiapa pun.

Iklan
Iklan

Maka, menghargai kepimpinan negara adalah sebahagian daripada usaha mempertahankan keamanan yang kita nikmati, selain perpaduan nasional yang menjadi resipi kejayaan kemakmuran negara.

Keamanan yang dikecapi hari ini bukan datang bergolek, sebaliknya lahir daripada kebijaksanaan kepimpinan negara selama ini. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keamanan ini terus terpelihara.

Iklan

Menghargai keamanan bukan sekadar dengan mengucapkan syukur, tetapi perlu dizahirkan melalui tindakan. Rakyat perlu menolak budaya ekstrem, kebencian yang boleh mencetuskan huru-hara dan memecahbelahkan masyarakat.

Ada benarnya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh lapisan rakyat supaya sentiasa menghargai nikmat keamanan serta perpaduan yang dikecapi selama ini.

Iklan

Kiri dan kanan kita sekarang sedang kacau dengan ketidaktentuan politik, rusuhan, serangan ke atas pemerintah, ditambah pula dengan sentimen benci kerajaan yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan pintu rundingan.

Kita harus menjadikan pengalaman pahit dan luka negara luar sebagai iktibar. Jangan sampai keamanan yang dikecapi hari ini hilang hanya kerana kita leka dan terperangkap dalam permainan kebencian.

Dalam konteks ini, perasaan saling menghormati adalah ramuan paling sempurna agar semua pihak tahu jalur sempadan memberikan pendapat, melaungkan hak serta mengkritik penguasa negara.

Justeru, hargailah kepimpinan negara yang berusaha mengekalkan kestabilan dan bersama-sama kita pertahankan keamanan demi kelangsungan generasi akan datang.

Keamanan adalah harta paling berharga manakala kestabilan negara merupakan asas kepada kesejahteraan hidup.

Jika kita masih alpa, segala pembangunan dan impian bangsa hanya tinggal angan-angan. Jangan sesekali sia-siakan apa yang kita ada.