MCMC PRIME, NADI bantu pemulihan komunikasi di Sabah

Iklan
Kenderaan mudah alih MCMC PRIME di lokasi bencana pada Isnin.

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus memperkukuh usaha memastikan mangsa bencana di Sabah kekal terhubung melalui kemudahan komunikasi kecemasan MCMC PRIME dan perkhidmatan Internet komuniti Pusat Ekonomi Digital (NADI).

SKMM berkata, kenderaan mudah alih dikenali sebagai MCMC PRIME itu dilengkapi sokongan komunikasi dan telah digerakkan ke Kampung Cenderakasih dan Penampang bagi membantu pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 131 NADI juga telah diaktifkan untuk menyediakan capaian Internet kepada masyarakat yang terkesan agar mereka kekal berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa.

“Setakat ini, sejumlah 266 menara telekomunikasi terjejas akibat gangguan bekalan elektrik, namun lebih separuh iaitu 147 menara sudah kembali beroperasi dengan kerja-kerja pemulihan giat dilaksanakan secara berperingkat bersama syarikat telekomunikasi.

Iklan

“SKMM turut menubuhkan Task Force bersama syarikat telekomunikasi dan SESB bagi memantau keadaan semasa di tapak-tapak terkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

SKMM turut memaklumkan, mesyuarat berkala memberi tumpuan kepada penyelarasan pemulihan collector sites iaitu tapak utama yang mengawal liputan komunikasi di kawasan sekitarnya, manakala tapak kritikal dikenal pasti sebagai sasaran penting.

Iklan

“Selain itu, penyaluran bekalan kuasa sementara melalui genset turut dilakukan bagi mempercepatkan proses pemulihan komunikasi,” menurut kenyataan itu.

SKMM menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat telekomunikasi serta pihak berkuasa negeri dan Persekutuan bagi memastikan komunikasi dan capaian Internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah.