ROMPIN – Impian seorang lelaki untuk meraih keuntungan lumayan menerusi pelaburan mata wang kripto bertukar malang apabila wang simpanannya berjumlah RM154,902 lesap dipercayai ditipu sindiket itu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa berusia 36 tahun menyedari dirinya diperdaya selepas diminta terus memasukkan wang dalam jumlah besar tanpa menerima sebarang pulangan pelaburan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa berurusan dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘khidmat pelanggan’ melalui laman web https://m.htfxfxus.com/.
“Mangsa kemudian diarahkan membuat beberapa transaksi ke 15 akaun bank berbeza kononnya untuk memenuhi syarat pengeluaran modal dan keuntungan pelaburan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sharif Shai berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa terutama melalui laman web atau aplikasi tidak sah.
"Semakan latar belakang pelaburan boleh dibuat menerusi portal rasmi Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi mengelak menjadi mangsa.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa penipuan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di talian 09-4145329," katanya
Habis