Wanita maut motosikal dilanggar ketika buat pusingan U

Iklan
Seorang wanita maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 10, Jalan Kluang–Ayer Hitam, pada awal pagi Isnin.

BATU PAHAT – Seorang wanita maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 10, Jalan Kluang–Ayer Hitam di sini pada awal pagi Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 8.10 pagi.

Iklan
Iklan

“Kejadian dipercayai berlaku ketika sebuah kereta dari arah pusat bandar Batu Pahat sedang bergerak lurus menghala ke arah Parit Raja.

“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dari arah bertentangan membuat pusingan U hingga memasuki laluan kereta terbabit.

Iklan

“Akibatnya, penunggang motosikal, seorang wanita tempatan berusia 59 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan organ dalaman. Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Iklan

Sementara itu, Shahrulanuar Mushaddat berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu dan membahayakan.