GERIK – Seorang lelaki dikhuatiri hanyut selepas bot yang dinaikinya ditemui dalam keadaan separuh tenggelam di Sungai Perak berhampiran Jeti Awam Kampung Pulau Belayar di sini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kehilangan mangsa, Azri Md Sharif, 53, dilaporkan kepada pihak polis pada jam 11.03 malam Ahad.
"Mangsa dipercayai keluar menjala ikan di kawasan berkenaan sekitar jam 3.30 petang dengan menaiki sebuah bot miliknya.
“Kira-kira jam 8.30 malam, isteri mangsa yang berusia 50 tahun menerima panggilan daripada adiknya memaklumkan penduduk kampung menemui barang-barang milik mangsa terapung di permukaan air berhampiran jeti.
“Bot yang dinaiki mangsa turut ditemui dalam keadaan separuh tenggelam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Abdul Samad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan dengan penyelarasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Usaha mencari mangsa masih diteruskan sehingga kini," katanya.
Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah memaklumkan, operasi pencarian dimulakan dengan kaedah surface searching di sungai, bertumpu di kawasan tempat mangsa disyaki jatuh iaitu kira-kira 700 meter dari jeti.
"Pasukan penyelamat turut melakukan pusingan bot di sekitar lokasi terbabit dengan kedalaman air Sungai Perak dianggarkan satu meter," katanya.
Menurutnya, seramai 32 anggota terlibat dalam SAR itu merangkumi 20 anggota polis, lapan anggota bomba dan empat anggota APM.
"Operasi turut disokong dengan beberapa aset termasuk sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah Rapid Response Vehicle (RRV), sebuah pacuan empat roda Hilux, bot aluminium dan bot fiber daripada polis serta APM.
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) juga dimaklumkan berhubung insiden ini dan sedang dalam perjalanan ke lokasi untuk membantu operasi," jelasnya.