Bas dipercayai alami masalah teknikal rempuh lima kenderaan

Iklan
Sebuah bas yang dipercayai mengalami masalah teknikal merempuh lima kenderaan lain di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sebuah bas yang dipercayai mengalami masalah teknikal merempuh lima kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Hang Tuah menghala ke Jalan Imbi di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam berhampiran Masjid Al-Bukhary.

Iklan
Iklan

Antara bas yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hang Tuah menghala ke Jalan Imbi pada Ahad.

"Kejadian berlaku apabila bas dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki berusia 56 tahun.

Iklan

"Impak pelanggaran tersebut turut mengakibatkan sebuah lagi bas Scania, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Staria, sebuah Toyota Vios dan sebuah Honda City terlibat dalam kemalangan sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Seorang pemandu kenderaan bersama beberapa penumpang dilaporkan mengalami kecederaan.

Iklan

Menurutnya, kedua-dua bas yang terlibat dalam kemalangan tersebut membawa penumpang, namun kesemua penumpang berjaya keluar dengan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

“Sementara itu, pemandu Nissan Sylphy bersama beberapa penumpang mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan. Kesemua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.