PORT DICKSON - Seramai 43 penduduk Kampung Jimah Lama, Siliau di sini diarah berpindah selepas kediaman mereka dilanda banjir berikutan hujan lebat berserta ribut yang melanda kawasan itu pada malam Ahad.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata, arahan pengosongan dikeluarkan seawal jam 6 pagi Isnin selepas laporan diterima jam 5 pagi.
“Mangsa terjejas membabitkan 27 dewasa dan 16 kanak-kanak, namun setakat ini hanya tiga keluarga telah berpindah.
"Pusat pemindahan sementara (PPS) rasmi belum dibuka dan buat sementara waktu semua mangsa ditempatkan di Balairaya Kampung Jimah Lama," katanya pada Isnin.
Beliau berkata, ketika ini hujan telah berhenti dengan paras air dilaporkan mulai menurun secara berperingkat.
Bagaimanapun pihaknya masih melakukan pemantauan rapi di lokasi bagi siap siaga hadapi sebarang kemungkinan.