FENOMENA remaja bawah umur memandu tanpa lesen semakin membimbangkan. Bukan sahaja melanggar undang-undang jalan raya, malah mengundang pelbagai risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa.
Minggu lepas, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis selepas memandu kereta tanpa lesen dan bertindak melarikan diri ketika diarahkan berhenti dalam kejadian di Jalan Bandar Baru, Kuala Nerus, Terengganu.
Sebelum itu tular video berdurasi 24 saat yang memaparkan adegan kejar-mengejar antara kereta polis dengan kenderaan dipandu remaja terbabit sehingga mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial.
Pada 14 Januari lalu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana dipercayai memandu kereta tanpa lesen dan mengakibatkan kemalangan yang meragut lima nyawa di Jalan Stutong Baru, Kuching.
Tidak setakat itu, pada 17 Jun pula, Mahkamah Majistret Kuching memerintahkan remaja lelaki yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan lima maut itu menjalani hukuman selama enam tahun di Sekolah Henry Gurney dan didenda RM1,500.
Ini antara kejadian yang disiarkan akhbar mengenai tindakan remaja bawah umur yang memandu tanpa lesen sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan yang meragut nyawa.
Perkembangan ini wajar diberi perhatian serius kerana implikasinya bukan sekadar kepada remaja terbabit, malah turut menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Pertama, dari segi undang-undang, setiap individu yang ingin memandu kereta perlu berumur sekurang-kurangnya 17 tahun dan memiliki lesen memandu yang sah. Lesen ini hanya diperoleh setelah seseorang itu lulus ujian teori serta ujian praktikal.
Remaja bawah umur yang memandu jelas tidak mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai peraturan jalan raya dan etika pemanduan berhemah. Ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada kesalahan seperti memandu laju, melanggar lampu isyarat atau gagal mengawal kenderaan dalam situasi kecemasan.
Kedua, pemanduan tanpa lesen oleh remaja bawah umur boleh membawa risiko kemalangan yang tinggi. Faktor utama ialah kematangan mental dan emosi mereka yang masih belum stabil sepenuhnya. Dalam keadaan tertekan atau cemas, mereka mungkin bertindak terburu-buru yang akhirnya mengundang tragedi.
Banyak laporan media menunjukkan kes remaja bawah umur meragut nyawa sendiri atau orang lain kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya. Situasi ini menunjukkan betapa seriusnya bahaya yang dibawa oleh tindakan tersebut.
Selain itu, perbuatan ini turut memberi kesan kepada ibu bapa atau penjaga. Dalam banyak keadaan, ibu bapalah yang membenarkan anak mereka memandu walaupun sedar mereka tidak layak.
Perbuatan cuai ini bukan sahaja boleh dikenakan tindakan undang-undang, malah melambangkan kegagalan dalam mendidik anak-anak tentang tanggungjawab dan disiplin. Sekiranya berlaku kemalangan, ibu bapa juga boleh dipersalahkan kerana membiarkan perkara tersebut berlaku.
Dari sudut sosial, gejala remaja bawah umur memandu tanpa lesen turut memberi imej buruk kepada masyarakat. Ia melahirkan generasi yang tidak menghormati undang-undang dan cenderung mengambil mudah peraturan.
Jika dibiarkan, gejala ini boleh menjadi budaya negatif yang berpanjangan serta menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk menegakkan keselamatan jalan raya.
Kesimpulannya, remaja bawah umur yang memandu tanpa lesen sememangnya mengundang bahaya besar kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Tindakan tegas pihak berkuasa perlu digiatkan bagi membendung gejala ini termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan kempen kesedaran yang berterusan.
Pada masa sama, ibu bapa harus memainkan peranan penting dengan tidak membenarkan anak-anak mereka memandu sebelum tiba waktunya.
Hanya dengan kerjasama semua pihak, masalah ini dapat ditangani dengan sebaiknya demi menjamin keselamatan di jalan raya.
* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Sub Editor Sinar Harian