SETIU – Empat individu cedera manakala sembilan lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kampung Sungai Tong di sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Sarizan Mohmmad Sapawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 2.51 petang.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan sebuah lori Isuzu lima tan, Toyota Hilux, Suzuki Swift dan Nissan Grand Livina.
"Pemandu lori cedera selepas tersepit manakala penumpangnya seorang lelaki dewasa tidak mengalami kecederaan.
"Pemandu Toyota Hilux, seorang wanita turut cedera selepas tersepit, bersama penumpang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Beliau berkata, tiga kenderaan iaitu lori Isuzu, Suzuki Swift dan Nissan Grand Livina datang dari arah Kuala Terengganu menuju ke Jertih, Besut manakala Toyota Hilux menghala dari arah bertentangan.
" Pemandu Suzuki Swift bersama seorang penumpang wanita dewasa berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
"Kesemua lima penumpang Nissan Grand Livina iaitu seorang lelaki, seorang wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan juga dilaporkan selamat," ujarnya.
Beliau berkata, seramai tujuh anggota bomba bersama dua jentera termasuk sebuah FRT dan utiliti terlibat dalam operasi tersebut.
"Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sebelum semua mangsa yang cedera diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut," katanya.