PASIR SALAK – Kerajaan dicadang mempertimbangkan pemberian insentif kepada majikan yang menawarkan gaji lebih tinggi daripada kadar minimum kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) bagi menggalakkan lebih banyak pengambilan tenaga kerja berkemahiran.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Majikan TVET, Majlis TVET Negara, Datuk Khairul Azwan Harun berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan sebagai usaha menghargai kesediaan majikan melabur lebih besar dalam penggajian graduan TVET.
Menurutnya, hasil penelitian jawatankuasa mendapati ramai majikan bersedia menawarkan gaji lebih tinggi kepada lepasan TVET, namun beberapa faktor lain perlu diteliti bagi menggalakkan peningkatan kadar upah pekerja separa mahir dan mahir.
“Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan sekiranya ada insentif baharu di bawah TVET untuk diberikan kepada majikan yang menggajikan lepasan TVET dengan gaji jauh lebih tinggi daripada gaji minimum yang diperkenalkan.
“Perkara ini perlu kita teliti bersama kerana mungkin ada beberapa aspek lain yang perlu dipertimbangkan bagi membalas kesanggupan mereka meningkatkan tangga gaji pekerja separa mahir dan mahir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival TVET 2026 Daerah Perak Tengah @ KKPS dan Majlis Apresiasi Program OSC: Sejahtera Sosial (Keluarga Angkat) di Kolej Komuniti Pasir Salak di sini pada Sabtu.
Khairul Azwan berkata, jawatankuasa yang dipengerusinya itu turut meneliti usaha memperkukuh kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta menerusi konsep pelaburan bersama dalam ekosistem TVET.
Katanya, langkah itu penting bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan swasta khususnya dalam melengkapkan infrastruktur sokongan pendidikan TVET di negara ini.
“Banyak pelaburan dan usaha telah dilaksanakan pihak swasta dalam ekosistem TVET tetapi maklumat serta data mengenainya mungkin masih terhad.
“Jawatankuasa akan melihat bagaimana maklumat ini dapat dikumpulkan supaya pelaburan bersama, termasuk melalui geran padanan, dapat dimanfaatkan bagi menggalakkan pelaburan lebih tinggi daripada pihak swasta,” katanya.
Menurutnya, lebih 60 syarikat telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis TVET Negara sejak dua hingga tiga tahun lalu.
Beliau berkata, jawatankuasa yang baharu dibentuk itu sedang meneliti semula pelaksanaan kerjasama berkenaan sebelum mengemukakan cadangan inisiatif baharu kepada Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairul Azwan berkata, daerah Perak Tengah berpotensi menjadi koridor TVET seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 berikutan kewujudan pelbagai institusi pendidikan dan latihan kemahiran di kawasan itu.
Katanya, institusi seperti Kolej Komuniti Pasir Salak, Kolej FELCRA dan Giatmara masing-masing mempunyai pengkhususan tersendiri dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran mengikut keperluan industri.
Beliau turut berusaha menggalakkan penawaran kursus membaik pulih jentera pertanian di institusi TVET berhampiran bagi memenuhi keperluan sektor pertanian di kawasan Kampung Gajah dan Pasir Salak.
Menurutnya, kekurangan tenaga mahir dalam bidang berkenaan menyebabkan petani terpaksa menunggu mekanik dari luar kawasan apabila jentera pertanian mengalami kerosakan sekali gus menjejaskan kelancaran operasi mereka.