SHAH ALAM –Kerajaan Selangor menegaskan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) hanya boleh diselaraskan selepas ia diluluskan di peringkat Parlimen.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, ketika ini negeri masih terikat dengan akta sedia ada di bawah bidang kuasa Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Selangor adalah negeri maju, pembangunan pesat sedang berjalan dengan jumlah penduduk melebihi 7.2 juta orang.
“Banyak flat lama berusia lebih 50 tahun memerlukan pembangunan semula, namun kita tidak boleh melaksanakan sebarang tindakan tanpa kelulusan akta di peringkat Parlimen,” katanya ketika ditemui pada Ahad.
Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan menjelaskan, buat masa ini Selangor hanya menunggu perkembangan perbincangan dan libat urus yang sedang dijalankan.
Menurut beliau, perbincangan dan sebarang keputusan mengenainya sedang dilakukan kerajaan Persekutuan bersama semua pihak termasuk pembangkang bagi memastikan suara semua kelompok didengar sebelum RUU itu dimuktamadkan.
“Saya yakin matlamat asal URA ini sangat baik iaitu untuk menyelesaikan masalah kediaman usang, lif rosak, persekitaran kotor dan tidak teratur yang sudah lama membelenggu rakyat.
“RUU ini bukan untuk menindas atau merampas hak pemilik rumah, sebaliknya demi kebaikan rakyat yang sudah lebih 50 tahun menghuni kawasan flat lama,” jelasnya.
Dalam pada itu, Suee Lim menegaskan isu berkenaan tidak wajar dipolitikkan kerana ia melibatkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
“Jangan hanya mahu jadi juara untuk meraih keuntungan politik tanpa memikirkan nasib penghuni flat usang.
“Paling penting kita dengar semua pandangan, uruskan dengan baik dan pastikan apabila diluluskan nanti, ia benar-benar mendatangkan manfaat kepada seluruh rakyat khususnya di Selangor,” tambahnya.